Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KESUSAHAN hidup dua beradik warga emas yang tinggal dalam sebuah rumah usang di Kampung Perigi Acheh, Masai, Pasir Gudang mendapat perhatian Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sultan Johor berkenan membina semula kediaman Tan Lai Ho, 65, dan Tan Lai Siang, 67, yang sudah tidak selamat untuk diduduki.
Rumah papan yang dihuni mereka sejak lahir hampir roboh dimakan anai-anai dan keadaan lebih menyedihkan apabila dibasahi air sewaktu hujan disebabkan atap berlubang.
Lai Ho berkata, abangnya, menghidap penyakit glaukoma yang kritikal sehingga kedua-dua matanya kabur dan tidak mempunyai keupayaan untuk bekerja mencari rezeki.
“Saya bekerja sebagai pembantu di sebuah tokong Cina berdekatan dengan rumah dan gaji yang diterima sekadar cukup untuk membeli barangan makanan sahaja.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Baginda Tuanku Sultan kerana sudi menghulurkan bantuan untuk membina rumah kepada kami,” katanya, hari ini.
Sementara itu, Mejar Cina, Datuk David Wong yang mengunjungi kediaman dua beradik berkenaan turut meluangkan masa meninjau perkembangan kerja-kerja pembinaan rumah baharu mereka.
Beliau turut menyampaikan sumbangan 144 kotak makanan kurniaan Sultan Ibrahim menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) kepada Ketua Kampung, Othman Adon.
Selain itu, beliau menyampaikan kurniaan sumbangan peribadi Sultan Johor untuk perbelanjaan sarapan serta makanan tengah hari kepada penduduk kampung yang bakal menerima suntikan vaksin.
“Baginda sentiasa menggalakkan rakyat untuk mendapatkan vaksin untuk melindungi diri, keluarga dan juga komuniti,” katanya.
Leave a Reply