Oleh MOHD LAZIM ENDUT
KERAJAAN negeri Terengganu bersedia melaksanakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) 2002 sebaik sahaja cadangan dua Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 mendapat kelulusan di peringkat Persekutuan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahari Mamat, sebahagian Rang Enakmen yang dibuat semasa pemerintahan kerajaan PAS sebelum ini berjalan mengikut bidang kuasa sedia ada.
Menurut beliau, ia termasuk dengan menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
Malah katanya, kerajaan negeri Terengganu sedia maklum bahawa empat undang-undang yang sedia ada sekarang diselia di peringkat Persekutuan.
“Maka, setiap pelaksanaannya nanti hanya akan melibatkan kadar populasi 96 peratus Melayu Islam tanpa berkait dengan golongan bukan Islam.”
“Buat masa ini yang penting ialah dengan memaksimumkan penggunaan peruntukan 356 iaitu melibatkan maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan seperti termaktub di dalam Akta 355,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14, di Wisma Darul Iman hari ini.
Beliau berkata, ini kerana, ia merupakan satu ibadah dan tuntutan bagi seorang Muslim.
Menurut Satiful Bahari, ketika ini penerangan menerusi bengkel dan sesi dialog sedang giat dijalankan melibatkan pelbagai jabatan penguatkuasaan, pendakwaan dan hakim mahkamah syariah.
“Kita bergerak secara berperingkat dan pada tahun hadapan kita akan mempertingkatkan pelaksanaan di bawah bidang kuasa bagi memberi pendidikan dan penjelasan untuk masyarakat.
“Insya-Allah, Terengganu akan menjadi negeri pertama melaksanakan hudud mengikut peruntukan yang diizinkan dan proses ini sentiasa diteliti bagi mengelakkan konflik dengan undang-undang sivil di peringkat Persekutuan,” jelas beliau.
Selain itu kata Satiful Bahari, Terengganu juga sedang menaik taraf infrastruktur melibatkan mahkamah syariah kepada empat lapisan di mana kaedah-kaedah teknikal sedang dikemas kini.
Leave a Reply