HANYA lima Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpilih di Lembah Klang mengadakan vaksinasi Covid-19 secara walk in atau jumpa terus bermula 16 hingga 30 September ini.

Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) berkata, ia dibuat susulan jumlah kehadiran yang rendah ke PPV di Lembah Klang untuk mendapatkan vaksinasi secara walk-in selain dapat mengoptimumkan sumber.

Menurutnya, lima PPV terlibat ialah Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Bangi; Multimedia University (MMU), Cyberjaya; Axiata Arena, Bukit Jalil; Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL British BMI), Gombak dan Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam – HCO B.

“Langkah menghadkan hanya lima PPV ini beroperasi adalah selari dengan strategi CITF untuk mengoptimumkan sumber bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Bagaimanapun, jumpa terus di negeri-negeri lain tetap diteruskan dan orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti pengumuman yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing untuk maklumat terkini berhubung inisiatif walk-in di negeri masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, CITF memberitahu, pelajar Institut Pengajian Tinggi di sekitar Lembah Klang juga boleh mendapatkan vaksinasi mereka di PPV tersebut.

Ujarnya, CITF pada masa sama akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi penglibatan ProtectHealth Corp Sdn Bhd untuk inisiatif jumpa terus berkenaan.

“Perbincangan akan tertumpu kepada menyebarluaskan inisiatif walk-in bagi populasi dewasa warganegara Malaysia di klinik pengamal perubatan swasta am (General Practitioner Clinics) di Lembah Klang.

“ProtectHealth dijangka akan mula untuk menawarkan perkhidmatan klinik perubatan swasta yang terpilih untuk walk-in warganegara pada 1 Oktober 2021,” katanya lagi.

Setakat hari ini, sebanyak 13 PPV masih beroperasi di Lembah Klang dan sebanyak 38 PPV bukan kesihatan telah ditutup sehingga 14 September 2021 di Lembah Klang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here