
DALAM tempoh 48 jam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuat dua kali penegasan mengenai betapa pentingnya kestabilan politik diwujudkan dan kemelut politik dihentikan.
Seri Paduka menzahirkan penegasan itu ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 pada Isnin dan hari ini disusuli pula dengan kenyataan yang mengandungi rasa syukur Seri Paduka berikutan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).
Walaupun tidak semua parti pembangkang terlibat dalam menangani MoU tersebut namun penulis percaya mereka pun mempunyai semangat yang sama iaitu tidak mahu kemelut politik berterusan sehingga menggugat kehidupan rakyat dan negara yang dalam proses pemulihan berikutan pandemik Covid-19.
MoU tersebut dianggap kejayaan pertama kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu. Apa yang dilakukan bukan mudah kerana ia diibaratkan mahu ‘melenturkan hati’ pembangkang untuk menerima tawaran yang dikemukakan.
Faktanya, tawaran yang sama turut dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 13 Ogos lalu ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri. Antara isi kandungan MoU yang dikemukakan oleh Ismail Sabri tiada bezanya dengan apa yang ditawarkan oleh Muhyiddin.
Tetapi ‘politik kebencian dan dendam kesumat’ telah memungkinkan niat murni Muhyiddin ditolak mentah-mentah walaupun hasrat beliau sama seperti Ismail Sabri iaitu mewujudkan kembali kestabilan politik.
Tanpa kestabilan politik apapun tidak boleh dibuat. Atas sebab itulah Ismail Sabri berusaha menyakinkan pemimpin-pemimpin pembangkang untuk menandatangani MoU itu. Ismail Sabri sedar walaupun ia ada risiko memandangkan dalam UMNO sendiri pasti ada kelompok bertaraf ‘batu api’ tetapi Perdana Menteri tahu itu sahaja cara bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada usaha memulihkan negara.
Tambahan pula MoU itu tidak melanggar apa-apa dasar UMNO termasuk ‘No Anwar, No DAP’ kerana ia 100 peratus berkaitan Transformasi dan Kestabilan Politik. Dan Ismail Sabri melakukan secara terbuka bukannya seperti menghantar surat sokongan secara diam-diam atau ada apa-apa rakaman audio.
Seperti juga Muhyiddin, Ismail Sabri juga meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya. Misi beliau untuk memulihkan negara hanya boleh dicapai melalui kestabilan politik dengan memastikan parti-parti pembangkang tidak mengganggu pentadbirannya seperti mana ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.
Ismail Sabri pasti sudah menimba pengalaman ketika berkhidmat di bawah Muhyiddin. Beliau sudah melihat bagaimana apa juga usaha kerajaan akan nampak buruk dan akan terganggu jika politiking berterusan, apatah lagi jika ada ‘duri dalam daging’ atau ‘musuh dalam selimut’ daripada parti sendiri.
Kini soal pembangkang tidak perlu dibimbangi kerana Ismail Sabri berjaya menyakinkan mereka untuk menandatangani MoU yang bertujuan semata-mata demi rakyat dan negara. Tetapi apa yang menjadi kebimbangan ialah jika ada ‘ancaman’ daripada dalam UMNO.
Pemimpin-pemimpin dalam parti itu sepatutnya bersama Ismail Sabri sekaligus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kemelut politik ditamatkan dan tidak tercetus lagi.
Jika sebelum ini, kita lihat betapa hebatnya pemimpin-pemimpin UMNO mengkritik Muhyiddin kerana dianggap menderhaka dalam soal pembatalan Ordinan Darurat, kini mereka juga jangan sampai dilihat menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong apabila terus mahu berpolitik sehingga mengganggu tumpuan Ismail Sabri melaksanakan tanggungjawabnya menguruskan negara.
Jangan ulangi perangai lama yang mengkritik apa sahaja usaha kerajaan seolah-olah mereka sahaja yang pandai menguruskan negara atau menjadi Perdana Menteri, apatah lagi meminta itu dan ini daripada Ismail Sabri.
Tindakan seperti itu hanya akan menyebabkan Ismail Sabri berada dalam keadaan tidak selesa ibarat ‘duduk di atas pagar berduri, disuapkan dengan jus manis’. Pemimpin-pemimpin UMNO tidak kiralah daripada kumpulan mana pun perlu faham Ismail Sabri adalah Perdana Menteri Malaysia bukan Perdana Menteri UMNO.
Semoga titah Yang di-Pertuan Agong yang menyifatkan MoU tersebut sebagai detik bersejarah akan benar-benar dihayati bukan setakat ahli Parlimen sahaja tetapi juga semua ahli politik kerana sejarah sudah membuktikan kumpulan itulah yang ‘menyibuk lebih’ sehingga mencetuskan ketegangan politik kononnya atas nama atas akar umbi. Siapa mereka?
Kajilah apa yang dialami oleh Muhyiddin sepanjang 17 bulan beliau menjadi Perdana Menteri, di situ ada jawapannya. Diharapkan Ismail Sabri tidak ‘diganggu’ oleh ‘makhluk-makhluk’ tersebut.FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare https://www.facebook.com/plugins/like.php?href=https://utusantv.com/?p=51627&layout=button_count&show_faces=false&width=105&action=like&colorscheme=light&height=21 Artikel sebelumUlama Kedah,Tok Guru Pak Teh M