19,495 kes baharu Covid-19, Sarawak kembali tertinggi

JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di Malaysia hari ini melonjak hampir 4,000 kes kepada sebanyak 19,495 kes hari ini berbanding 15,669 jangkitan semalam.

Kenaikan sebanyak 3,826 kes itu, sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 setakat ini ialah sebanyak 2,030,935 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian infografik di Facebook berkata, Sarawak kembali menerajui ‘takhta’ kes harian Covid-19 apabila mencatatkan sebanyak 4,709 kes, melonjak sebanyak 2,726 kes berbanding semalam.

Selangor dengan 2,710 jangkitan hari ini menduduki tempat kedua, selepas merekodkan 2,632 kes semalam diikuti Sabah dengan 2,015 kes.

Selain itu, lima buah negeri turut menyumbang lebih 1,000 jangkitan harian Covid-19 iaitu Johor (1,860 kes), Pulau Pinang (1,757 kes), Kelantan (1,434 kes), Kedah (1,178 kes) dan Perak (1,174 kes)

Perlis kembali menyertai negeri yang mencatatkan tiga digit kes sahaja selain Terengganu, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu sifar jangkitan diikuti, Putrajaya 16 kes.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham turut berkongsi infografik penggunaan katil hospital Covid-19 setakat pukul 5 petang semalam.

Kedah mencatatkan tahap penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) tertinggi dengan 112 peratus atau 104 buah katil.

Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu pula mencatatkan penggunaan katil ICU pada tahap 90 peratus.

Secara keseluruhan di seluruh negara, tahap penggunaan katil ICU dalah sebanyak 81 peratus atau 1,520 unit manakala tahap penggunaan katil bukan ICU adalah 74 peratus atau 17,133 unit.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *