Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SELEPAS lebih sebulan berada di hospital, akhirnya Ayash Affan dibenarkan untuk pulang ke rumah hari ini.

Hal ini dimaklumkan sendiri oleh Shuib menerusi perkongsian di Instagram miliknya dengan meluahkan rasa syukur atas kepulangan Ayash Affan.

Dalam pada itu, pelawak dan juga usahawan itu juga mengakui bahawa kepulangan anak bongsunya itu nanti di rumah akan menjadi hadiah yang sangat bernilai daripada Allahyarham isterinya bersempena dengan hari lahir arwah pada esok hari iaitu 15 September.

“Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Hadiah hari jadi ibu esok 15 September.

“Allah hadiahkan kepulangan Ayash Affan hari ini, syukur Ya Allah. Terima kasih kepada yang mendoakan kesihatan Ayash,” tulisnya dalam InstaStory sebentar tadi.

Terdahulu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, berkongsi berita gembira apabila dibenarkan bertemu dan meluangkan masa selama tiga jam dengan Ayash selepas sebulan bayi itu dilahirkan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, Kuala Lumpur.

Ayash sebelum ini dilahirkan secara pembedahan tiga hari sebelum Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos lalu akibat Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here