SEORANG gadis maut manakala adik lelakinya melecur teruk dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Baru Kundang, Rawang dekat sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata ketika pasukan bomba tiba di tempat kejadian, mangsa B.Thiva, 19, dan adiknya B. Vishnu, tiga tahun telah dibawa keluar oleh orang awam.
Beliau berkata berdasarkan saksi, kedua-dua mereka ditemukan di kawasan dapur dan Thiva telah meninggal dunia ketika dibawa keluar dari rumah.
“Seramai 16 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang dan Sungai Buloh digegaskan ke tempat kejadian.
“Kami menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran rumah setingkat itu pada 11.10 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Norazam berkata rumah itu terbakar 90 peratus dan kedua-duanya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan rawatan.
Difahamkan, ketika kejadian ibu bapa mereka tiada di rumah kerana keluar bekerja.- BERNAMA
Leave a Reply