Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

TAKTIK seorang lelaki yang bertindak menanam 50.9 gram syabu di belakang rumahnya di Taman Sri Kenerak, Pasir Mas Kelantan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa terbongkar apabila kediamannya diserbu anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) pada pukul 7.30 malam kelmarin.

Menurut Pegawai Pemerintah PGA8 Superintendan Mat Shukor Yusof, suspek berusia 31 tahun pada mulanya cuba melarikan diri, tetapi anggotanya berjaya menahan lelaki itu sebelum suspek mengaku ada menyimpan barang larangan di rumah berkenaan.

Pada awalnya kata Mat Shukor, semasa pemeriksaan dilakukan di seluruh bahagian rumah tidak menemui barang larangan, sebelum suspek menunjukkan tempat timbusan dadah di halaman belakang rumah.

“Setelah anggota kita menggali di lokasi itu, digali akhirnya menemui satu plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki syabu bernilai RM5,090.

“Ekoran itu, kita membawa dadah tersebut bersama suspek ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut dan turut dirampas ialah kereta jenis Honda Jazz milik suspek,” katanya di Markas Taktikal Briged Tenggara PGA di Lubok Stol hari ini.

Menurut Mat Shukor, pihaknya percaya dadah yang dirampas itu untuk pasaran Pasir Mas dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam satu kejadian lain, beliau memberitahu, pihaknya berjaya menumpaskan penyeludupan 13 ekor lembu bernilai RM136,500 di sebuah kandang di Kampung Mentua, Pengkalan Kubor, Tumpat, pada 30 Ogos lalu.

“Dalam kejadian itu, kita telah menahan dua lelaki yang bertanggungjawab membawa kesemua lembu ke kandang tersebut.
Semakan ke atas dokumen dan surat perjalanan didapati agak meragukan kerana alamat kandang tidak sama dengan surat kebenaran memindahkan ternakan.

“Semua haiwan tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Veterinar Kelantan untuk siasatan mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here