Oleh DATUK IBRAHIM ALI

Pilu saya apabila menerima khabar kembalinya ke rahmatullah  seorang yang sifatkan sahabat karib, rakan setia yang luar biasa, semalam.

Walaupun Allahyarham Norlizaizul Ismail (Zul) diuji dengan penyakit strok yang melumpuhkan sebelah badannya 11 bulan lalu, Allahyarham tidak henti-henti bertanya khabar dan menyokong perjuangan saya.

Sepanjang perkenalan dan bersama dalam perjuangan Perkasa 13 tahun lalu sehingga penubuhan Parti PUTRA 2 tahun lalu, Allahyarham terus istiqamah dan setia untuk bersama saya dan sahabat-sahabat lain walaupun saya bukan lagi bergelar ahli Parlimen.

Allahyarham amat komited. Tanpa mengira waktu dan masa Allahyarham membantu dalam pelbagai perkara sama ada organisasi mahupun pada saya secara peribadi. Allahyarham  menemani saya siang malam serta menjelajah seluruh negara dan adakala tidur dalam kereta, tidak pulang rumah dua hingga tiga hari dalam seminggu atau pukul 4 pagi hingga 5 pagi baru tiba di rumahnya  di Mambau, Seremban.

Walaupun lokasi kediamannya jauh, setiap hari arwah Zul akan memandu ke Kuala Lumpur dan setiap kali hendak ‘outstation’, Allahyarham tiba di rumah saya seawal pukul 4 pagi atau pukul 5 pagi. Ikut diminta dan disuruh tanpa mengira hari.

Bantuan kewangan diberi ikut keadaan dan tidak menentu. Jauh daripada munasabah akal jika diikut waktu, masa dan kerja-kerja yang Allahyarham laksana dan diarah. Tidak pernah merungut, berleter dan bercakap buruk tentang orang di belakang sepanjang bersama saya.

Sepanjang tempoh Allahyarham  sakit 11 bulan, Allahyarham  selalu WhatsApp, meminta saya menjemputnya  kerana mahu ke pejabat PUTRA atau mahu ikut serta dalam program yang saya pergi di mana sahaja.

Allahuakbar! Betapa komited arwah dengan kerjanya walaupun keadaan fizikal tidak lagi mengizinkan. Letih saya menasihatkannya supaya berehat di rumah, (kalaupun mahu ikut saya) tunggulah sehingga pulih dari lumpuh dan selepas dimasukkan semula sebelah lagi tempurung kepalanya yang dibedah disebabkan darah beku ketika serangan strok dahulu.

Luluh hati saya apabila mengenangkan sebelum pemergiannya, tiga hari berturut-turut Allahyarham menghubungi saya dan semua rakan-rakan melalui WhatsApp dan Messenger mohon maaf serta halalkan makan minumnya.

Sejak pukul 4 pagi (5 September) semalam, boleh dikatakan setiap jam arwah Zul mesej mengadu makin sakit, akan mati dan berulang kali mohon maaf kepada saya. Sempat saya memberi motivasi dan mendoakan bagi menguatkan semangatnya bahawa Allahyarham akan segera sembuh serta boleh kembali ke pejabat seperti biasa selepas sihat nanti.

Dalam masa genting itu juga Allahyarham  tidak lupa sebut nama kawan-kawan dan minta saya sampaikan salam.

Seperti mengetahui ajalnya bakal tiba, pada 1 September lalu beliau memaklumkan untuk pulang ke kampung bertemu kedua orang tuanya selepas 8 bulan tidak dapat berjumpa akibat kekangan kesihatan dan PKP yang berlanjutan. Setelah hajatnya tercapai dan dipermudahkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kampung halaman dan di samping ibu bapanya.

Semalam, sebaik tiba di Teluk Intan saya terus ke Hospital Teluk Intan tapi tidak dapat melihat jenazah. Saya  kemudiannya ke kediaman keluarga Allahyarham.

Ibu bapa Allahyarham menceritakan, pagi semalam Allahyarham mengadu sakit dada dan selepas diurus bapanya, Allahyarham ‘segar’ semula. Bagaimanapun Allahyarham beritahu akan mati dan minta ampun serta maaf dengan Ibunya.

Allahyarham juga sempat berpesan meminta mereka menjaga Nani dan anak angkatnya, Ibrahim.

Semua pengetahuan milik Allah dan diilham kepada Allahyarham, pada pagi itu juga Allahyarham meminta Ibunya untuk membersihkan dirinya. Allahyarham minta ibunya potongkan kuku dan mandikannya kemudian sempat makan sedikit buat kali yang terakhir dan sepanjang masa tidak henti-henti memohon maaf.

Pada jam 11 pagi, Allahyarham diserang sawan. Bapanya terus menghubungi ambulans dan tiba di hospital sekitar pukul 12 tengah hari dan pada pukul 2.30 petang Allahyarham disahkan kembali  ke rahmatullah.

Hilanglah satu permata yang jauh di lubuk hati saya bukan sahaja sebagai seorang sahabat yang paling setia malah boleh diibarat anak sendiri yang susah senang perjalanan dalam perjuangan yang saya lalui Allahyarham  tetap kuat menyokong dan istiqamah.

Lebih memilukan hati saya apabila Allahyarham berkata tetap berdoa semoga PUTRA akan berjaya dan mahu pastikan saya menang pilihanraya yang akan datang nanti. Betul-betul menyayat hati dan inilah kesetiaan seorang kawan yang menyumbang jiwa raga tanpa mengira waktu serta tenaga dan amatlah saya hargai.

Hari ini jenazah Allahyarham Zul akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Attaduri, Kampung Melayu Langkap, Perak tidak jauh dari kediaman Ibu bapanya. Semoga Allahyarham tenang di sana dan dipermudahkan segala urusannya hari ini.

Saya kehilangan sahabat setia yang amat saya sayangi dunia akhirat dan Allah jua yang Maha Mengetahui kerana menjemputnya kembali dalam usia baru 46 tahun.

Allah SWT lebih sayangkan Zul. Semoga roh Allahyarham Norlizaizul bin Ismail dicucuri rahmat, diampun segala dosanya, dipermudahkan urusannya di alam barzakh, diluaskan pintu syurga dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

“Allahummaghfirlahu warhamhu wa ‘afihi wa’fuanhu”

  • Datuk Ibrahim Ali adalah Presiden Parti Putra

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here