DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berbangga dengan kejayaan Cheah Liek Hou memenangi pingat emas badminton dalam temasya Paralimpik Tokyo 2020, hari ini.
Perdana Menteri mengucapkan syabas kepada Lieh Hou atas prestasi yang sungguh menakjubkan itu.
“Pingat emas buat Malaysia! Atlet paralimpik terus menyumbangkan pingat kepada negara.
“Semangat dan kecekalan seperti inilah yang menjadi sumber inspirasi seluruh warga Keluarga Malaysia!” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Liek Hou yang merupakan juara dunia enam kali menjadi pemenang pingat emas badminton yang pertama Sukan Paralimpik, apabila beliau membenam cabaran seteru utamanya Anrimusthi Dheva dari Indonesia pada perlawanan akhir perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) hari ini.
Pemain nombor dua dunia itu menewaskan Dheva pemain pilihan pertama Paralimpik 21-17, 21-15 pada hari keempat acara badminton yang berlangsung di Yoyogi National Stadium.
Pada set pertama, kesilapan yang dilakukan pemain nombor satu dunia itu membolehkan Liek Hou mendahului 5-0, sebelum pemain indonesia itu mengejar hingga ke kedudukan 8-5.
Namun anak didik tidak mengambil masa lama menewaskan Dheva dalam set pertama yang hanya memakan masa 22 minit.
Liek Hou, 33, menunjukkan persembahan terbaik dan menguasai perlawanan sejak awal sebelum menamatkan perlawanan dalam tempoh 50 minit.
Badminton buat pertama kalinya dipertandingkan pada Sukan Paralimpik di Tokyo.
Kali terakhir Liek Hou menang dalam pertemuan terakhir dengan Dheva ialah semasa aksi final Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Dubai, April lalu yang menyaksikan dia muncul juara.
Kemenangan Liek Hou sekali gus bermakna kontinjen Malaysia telah pun memungut dua pingat emas setakat ini.
Pingat emas pertama disumbangkan Bonnie Bunyau Gustin dalam acara powerlifting kategori 72 kilogram (kg), 28 Ogos lalu.
Leave a Reply