AKTA Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen perlu digubal bagi menjamin kebebasan perkhidmatan Parlimen di negara ini.
Presiden Majlis Senator Malaysia, Datuk Seri Khairudin Samad berkata, ciri-ciri penting termasuk fungsi suruhanjaya yang teras dan jelas dinyatakan dalam akta, keahlian perlu dalam bilangan ganjil dan penubuhan beberapa jabatan di Parlimen.
“Selain itu, peranan Ketua Pentadbir Parlimen, Setiausaha Dewan dan Setiausaha Jabatan secara jelas dikanunkan dalam akta.
“Nilai-nilai Perkhidmatan Parlimen harus didefinisikan sebagai ‘Nilai Falsafah penting dalam Perkhidmatan Parlimen’ atau Kod Tata Kelakuan, serta menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Pentadbiran dan Kewangan Parlimen bagi membantu suruhanjaya menjalankan peranannya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Jabatan Perdana Menteri dan Parlimen Malaysia bersetuju menubuhkan jawatankuasa bersama bagi merealisasikan transformasi untuk memberi lebih kebebasan kepada Parlimen di samping menyuntik nafas baharu melalui penghapusan serta pindaan peraturan lapuk.
Beliau berkata, persetujuan itu dicapai selepas beliau mengadakan pertemuan selama 90 minit bersama Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, kelmarin.
Tambah Wan Junaidi, dalam pertemuan itu mereka membincangkan kemungkinan untuk memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) yang dimansuhkan pada 1992 bagi memberikan lebih kebebasan kepada badan penggubal undang-undang itu.
Khairuddin mengulas lanjut, MSM menyokong penuh usaha Wan Junaidi mengembalikan Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen di Malaysia serta berharap ia diterima baik oleh semua pihak dan berjaya direalisasikan.
“Ia signifikan untuk memastikan ciri-ciri satu Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen menepati piawaian antarabangsa dan pengalaman di beberapa institusi di negara-negara maju seperti United Kingdom, Australia dan Kanada yang perlu dijadikan panduan,” katanya.
Beliau berkata, MSM juga menyokong elemen-elemen penting dalam kenyataan Wan Junaidi dan juga REFORM serta BERSIH, antaranya untuk memperkenalkan semula Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen bagi memberi kebebasan kepada Parlimen serta mengembalikan peruntukan berhubung perkhidmatan Parlimen dalam Perkara 65 Perlembagaan Persekutuan, iaitu sumber kuasa bagi penggubalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.
Selain itu, meminda peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan pelantikan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat supaya mereka dilantik oleh sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang bebas dan dibentuk di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen.
Khairudin memberitahu, majlis itu juga menyokong elemen untuk menerapkan model pengurusan perbelanjaan dan penyediaan belanjawan secara kerjasama untuk memastikan autonomi kewangan Parlimen dan mempertimbangkan skim persaraan fleksibel kepada kakitangan perkhidmatan Parlimen yang setaraf dengan skim perkhidmatan awam.
Leave a Reply