Oleh MOHD LAZIM ENDUT
SEORANG pemuda dikhuatiri lemas apabila dihanyutkan arus deras selepas dia dikatakan tergelincir dari tebing sungai ketika sedang memancing bersama enam rakannya di Jeram Mawar dekat Kampung Air Putih, Kemaman, petang semalam.
Kejadian berlalu pada pukul 1.30 petang, apabila mangsa, Mohamad Nazmi Mohamad Saidi, 23, dari Kampung Paya Berenjut, Chukai dikatakan tergelincir ketika sedang berdiri di tebing sungai tersebut, lapor Sinar Harian.
Menurut rakan pemuda itu, Mohd. Zarif Ikhwan Zainuddin, 23, sebaik terjatuh, dia sempat melihat mangsa tenggelam timbul di permukaan air sebelum hilang dibawa arus deras.
“Saya cuba membantu dengan terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkannya, tetapi gagal kerana ketika itu arus terlalu deras, menyebabkan saya hampir lemas.
“Saya buntu dan akhirnya hanya mampu menjerit meminta tolong daripada rakan-rakan lain, namun sudah terlambat,” ceritanya.
Kumpulan lelaki berkenaan dikatakan pergi ke lokasi itu untuk berkelah sambil memancing pada pukul 7 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, operasi mencari dan menyelamat mangsa telah dilakukan sebaik sahaja pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Malah katanya,operasi yang bermula sejak petang semalam diteruskan pada hari ini dengan radius pencarian seluas 500 meter dari lokasi kejadian.
“Operasi dilalukan dengan bantuan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan penduduk setempat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Leave a Reply