Lima perlawanan dalam 16 hari, KDA FC mula keletihan

RIZQI ZABIDI

Selepas mengharungi jadual cukup padat membabitkan lima perlawanan dalam tempoh 16 hari, barisan pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini diakui mula menunjukkan tanda-tanda keletihan.

Menurut jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak, cabaran itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui apatah lagi anak-anak buahnya kini sedang berjuang untuk memburu gelaran Naib Juara Liga Super.

Begitu pun katanya, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan alasan memandangkan segala yang dilalui kini, merupakan ‘rencah kehidupan’ sebagai pemain profesional.

“Bukan mudah buat kami untuk bermain lima perlawanan berturut-turut, ditambah perjalanan panjang ke laman lawan.

“Selepas bermain menentang PJ City di Stadium MBPJ pada 25 Ogos lalu contohnya, kami cuma melalui satu proses pemulihan dan tidak sempat berlatih untuk menentang Perak FC malam ini (malam tadi).

“Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan kerana sebagai profesional, kami perlu pandai menjaga diri untuk tampil bersedia dalam setiap perlawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perlawanan menentang Perak FC di Stadium Darul Aman, malam tadi yang menyaksikan anak-anak buahnya kemenangan 1-0 hasil jaringan tonggak penyerang import mereka, Kpah Sherman pada minit ke-19.

KDA FC kini melalui jadual perlawanan cukup padat apabila beberapa perlawanan membabitkan pasukan itu, terpaksa ditangguh setelah dua pemain mereka didapati positif COVID-19 pada 23 Julai lalu.

Sungguh pun begitu, mereka tampak berjaya mengekalkan momentum kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut ke atas Penang FC, Terengganu FC, PJ City FC dan terbaru, Perak FC sekali gus membuka ruang untuk bergelar naib juara Liga Super musim ini.

Aidil menambah, dalam pertemuan menentang Pahang FC pada 1 September depan, beliau mungkin akan melakukan beberapa perubahan terhadap kesebelasan utama dengan membawa masuk pemain-pemain yang masih segar.

“Insya Allah saya akan menilai semula keadaan semua pemain sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu nanti,” katanya.

Sementara itu, Aidil enggan banyak mengulas ketika ditanya sama ada pasukannya berada di landasan tepat untuk meraih kedudukan kedua Liga Super setelah mencatat kemenangan keempat berturut-turut semalam.

“Pertamanya kita perlu ucapkan tahniah kepada JDT kerana sah menjadi juara. Namun untuk pasukan ini, sejujurnya saya tidak mahu memikirkan terlalu jauh buat masa ini.

“Memandangkan kita masih kurang dua perlawanan berbanding pasukan lain, jadi biarlah kita fokuskan satu demi satu kepada perlawanan mendatang. Mungkin hanya selepas menentang Kuala Lumpur pada 4 September depan, kita boleh nilaikan semula peluang yang pasukan ini ada untuk berada di kedudukan kedua,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *