Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MENTERI Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Ipoh, hari ini bahawa kerajaan negeri membelanjakan RM40 juta bagi tujuan kebajikan awam dan keperluan kesihatan.

Jelas beliau, jumlah tersebut bertujuan membantu meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Kata Saarani, lebih 30 inisiatif dilaksanakan bagi sektor kebajikan dan kesihatan melibatkan bantuan kotak makanan, pengecualian sewa rumah serta penubuhan Pusat Penempatan Gelandangan.

“Dana ini juga disalurkan untuk membantu petugas barisan hadapan melaksanakan program saringan dan sanitasi Covid-19 selain dibelanjakan bagi penyediaan kelengkapan, peralatan perubatan tambahan, pemberian bantuan one-off dan makanan.

“Kerajaan juga telah menyediakan dana kepada semua 59 Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi tujuan pengurusan Covid-19 di kawasan masing-masing.

“Setiap pusat khidmat ADUN menerima RM40,000 dan tambahan RM20,000 lagi sekiranya kawasan mereka terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan) ketika sesi soalan lisan dalam sidang DUN Perak.

Selain itu katanya, kerajaan negeri menyediakan peruntukan kepada beberapa sektor lain antaranya RM14.8 juta kepada golongan penjaja, peniaga kecil dan usahawan merangkumi bantuan khas one-off kepada 41,750 penjaja serta peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta beberapa inisiatif lain.

Menurutnya, bagi sektor pendidikan pula, sejumlah RM8.7 juta disalurkan kepada mahasiswa menerusi bantuan sara diri, pelaksanaan program Tuisyen Cikgu Saarani dan sebagainya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here