BARISAN Kabinet dibentuk hari ini perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik dengan menekankan budaya kerja berprestasi tinggi.

Sehubungan itu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan.

‘’Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama,’’ katanya ketika mengumumkan barisan Kabinet yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara.

Beliau berkata, pembentukan Kabinet itu merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya.

‘’Saya akui bahawa kita sedang berada dalam keadaan yang getir akibat pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi dan diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik negara.

‘’Berdasarkan ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kita akan hidup bersama Covid-19 sebagai endemik, yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.

‘’Dunia mencatatkan kemunculan Variant of Concern (VOC) yang lebih agresif dan rekod di seluruh dunia menunjukkan mereka yang telah divaksinasi masih boleh dijangkiti Covid- 19,’’ katanya.

Oleh itu kata beliau, kerajaan akan memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini.

‘’Kita perlu terus mengawal segala risiko Covid-19 dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

‘’Saya akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat,’’ katanya.

Beliau berkata, selaras dengan hala tuju Pelan Pemulihan Negara (PPN), aktiviti ekonomi akan dibuka secara berfasa bagi membolehkan rakyat mula bekerja dan mencari nafkah dengan selamat.

‘’Barisan Kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur, kata.

Perdana Menteri berkata, bagi mendepani cabaran semasa, Kabinet ini perlu berorientasikan hasil yang berlandaskan kepada tiga prinsip iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah serta mengembalikan semula keyakinan rakyat

‘’Sesungguhnya, barisan Kabinet ini juga mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka, dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien,’’ katanya.

Ismail Sabri berkata,  penularan Covid-19 di peringkat global dan dalam negara turut memberi kesan langsung kepada pertumbuhan dan permintaan ekonomi tempatan.

‘’Saya juga akui keadaan ekonomi negara perlu dipulihkan segera. Sehubungan itu, barisan Kabinet dan kementerian perlu dipastikan berupaya menggalas tanggungjawab ini dengan komited dan lebih proaktif,’’ katanya.

Perdana Menteri juga berharap,  pelantikan Kabinet ini akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan Covid-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here