Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

Empat sekawan termasuk seorang wanita dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan dengan niat menyebabkan kematian seorang lelaki di Jalan Tan Yoke Fong, di sini, 16 Ogos lalu.

Mereka ialah Mohd. Hafize Mohamad Kassim, 36; Noorhaszieda Hasan, 32; Awalludin Abdul Hamid, 54 dan Tan Wei Cong, 25.

Kesemua tertuduh yang merupakan penganggur dan penagih dadah itu mengangguk faham pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret, Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empatnya tertuduh berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh melaksanakan niat bersama telah menyebabkan kematian terhadap Nosaisain Muhamad, 46.

Kesemua mereka dituduh melakukan perbuatan itu di antara pukul 7 pagi hingga 9.45 malam di rumah di Jalan Tan Yoke Fong 25, Taman Tan Yoke Fong, pada 16 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan itu, keempat suspek didakwa telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Tiada jaminan dibenarkan dan mahkamah kemudian menetapkan 23 September ini untuk sebutan kes.

Mahkamah menetapkan tiada jaminan dibenarkan dan menetapkan 5 Oktober ini sebagai sebutan semula serta pemeriksaan status bedah siasat.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Edelynn Wong manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Media melaporkan pada 16 Ogos lalu Noorhaszieda mendakwa mangsa memasuki rumahnya di Jalan Tan Yoke Fong ketika dia sedang tidur pada pukul 8.30 pagi sebelum wanita itu menghubungi rakannya.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, lelaki itu dipukul hingga mengalami kecederaan parah akibat dipukul sehingga maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pada pukul 9.45 malam hari yang sama.

“Siasatan awal terhadap wanita berkenaan mendapati kejadian itu berpunca kerana isu hutang sebelum menahan wanita itu serta tiga rakannya,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here