kes zahid

Bicara kes Zahid mesti diteruskan demi kepentingan awam

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam membenarkan penangguhan perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkait sistem visa asing untuk hari ini, namun perbicaraan akan disambung pada 1 September kerana ia membabitkan ‘kepentingan awam’.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Mohd Yazid Mustafa menegaskan, perbicaraan perlu bersambung minggu depan bergantung pada keadaan kesihatan Zahid.

“Saya faham beliau akan menjalani pembedahan dan berapa lama masa yang diperlukan untuk pulih tertakluk kepada pengesahan doktor.

“Ini kes membabitkan kepentingan awam dan mahkamah berharap pihak pendakwaan dan pembelaan dapat mencari tarikh yang dipersetujui untuk perbicaraan diteruskan,” katanya.

Ahmad Zahid berdepan 40 tuduhan menerima suapan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd berhubung sistem visa asing kerajaan. Kes ini kali terakhir didengar pada 27 Mei lalu.

Terdahulu. peguam Ahmad Zahid, Ahmad Zaidi Zainal memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya dimasukkan ke hospital atas kecederaan yang dialaminya akibat jatuh.

“Sebuah Mahkamah Tinggi lain telah memanggil doktornya untuk menerangkan situasinya lewat hari ini,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak hadir pada pendengaran penghujahan bagi satu lagi kes rasuahnya membabitkan Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah dimasukkan ke hospital Ahad lalu.

Peguamnya berkata, pembelaan dapat diteruskan dengan penghujahan pada akhir kes pendakwaan, namun pihak pendakwaan menegaskan bahawa undang-undang memperuntukkan bahawa Ahmad Zahid perlu hadir.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *