SEORANG pekerja swasta wanita berusia 49 tahun di Mak Mandin, Butterworth, Pulau Pinang kerugian sebanyak RM70,000 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai anggota polis.
Mangsa mula terjerat dengan sindiket itu selepas menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa wakil syarikat Telekom Malaysia baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, individu terbabit mendakwa kononnya mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat sebanyak RM1,188.
Menurut beliau, panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang mendakwa pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Negeri Sembilan yang memaklumkan mangsa terlibat pula dengan kes pengubahan wang haram.
“Takut dan panik dengan dakwaan itu, wanita berkenaan kemudian mengikut arahan suspek supaya menyerahkan maklumat akaun dan kod kebenaran transaksi (TAC) atau kata laluan sekali guna (OTP) kononnya bagi siasatan lanjut.
“Malah, mangsa juga diingatkan supaya tidak memberitahu sesiapa berkenaan panggilan yang diterimanya itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Noorzainy, sebaik sahaja menyerahkan nombor TAC dan OTP seperti diarahkan, mangsa mendapati wang di dalam akaun bank miliknya berkurangan.
Selain itu katanya, mangsa juga telah memindahkan sebahagian wang simpanannya ke dalam akaun bank lain yang diberikan suspek kerana mempercayai bagi tujuan siasatan.
“Selepas mendapati wang simpanannya sebanyak RM70,000 telah lesap, mangsa akhirnya menyedari dia telah ditipu dan membuat laporan polis semalam.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, Noorzainy mrngingatkan orang ramai sulaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan panggilan telefon yang mendakwa kononnya dari mana-mana pihak berkuasa terutama anggota polis.
Ini kerana jelasnya, pihak polis tidak berurusan dengan orang awam melalui telefon apatah lagi meminta maklumat perbankan kononnya untuk melengkapkan siasatan.
Leave a Reply