Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

JABATAN Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) perlu mencari penyelesaian terbaik dalam menangani isu 779 guru di negeri ini yang menolak vaksin Covid-19 dan bukan dengan pendekatan terus menghukum mereka.

Presiden Persatuan Kebajikan Pendidikan Ummah Malaysia (Pendidik), Normala Sudirman berkata, JPNJ perlu mengetahui punca mereka menolak vaksin bagi memastikan segala permasalahan dapat dirungkaikan dengan baik .

“Pasti ada cara terbaik untuk menyelesaikan permasalahan ini sekiranya warga pendidik menolak bukan atas sebab anti vaksin tetapi mungkin atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan seperti alahan, kehamilan atau sebagainya.

“Apa yang penting diharap mereka bukanlah disebabkan engkar perintah, ini kerana bagi penjawat awam pasti mereka terikat dengan etika perkhidmatan awam dan profesionalisme keguruan yang perlu akur dengan segala arahan kerajaan.

“Namun sekiranya warga pendidik ini dengan sengaja mahu membelakangkan arahan atau engkar perintah tanpa sebab rasional, maka Pendidik menyokong jika Pengarah JPNJ mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah pengambilan vaksin adalah penting dan perlu dipertingkatkan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negara ini, seterusnya berupaya membendung penularan jangkitan Covid-19.

Baginda bertitah, kakitangan awam termasuk golongan guru perlu memahami betapa pentingnya pengambilan vaksin untuk melindungi diri, keluarga, serta masyarakat.

Sebelum itu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan akan berjumpa Pengarah Pendidikan negeri dan para guru di Bangunan Sultan Ibrahim Bukit Timbalan di sini pada Jumaat ini.

Mengulas lanjut, Normala berkata, warga pendidik perlu sedar risiko sekiranya mereka menolak vaksin kerana akan membahayakan pelajar apatah lagi mereka yagn berada di sekolah rendah kerana tahap imuniti tidak sama dengan golongan dewasa.

Guru kata beliau, sepatutnya menjadi contoh kepada pelajar, ibu bapa dan masyarakat serta dibimbangi penolakan mereka akan disalah tafsir malah menjadi ikutan untuk rakyat tidak mengambil vaksin.

Justeru katanya, sesi kaunseling, penerangan dan langkah sewajarnya perlu dilakukan segera untuk 779 guru terbabit supaya tiada sebarang masalah berlaku apabila sesi persekolahan dibuka 3 Oktober nanti.

Beliau berharap pertemuan Tunku Ismail dapat berlangsung dalam suasana muhibah dan pencerahan dapat dibuat punca mereka menolak vaksin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here