lelaki

Taktik edar ekstasi guna paket serbuk perisa minuman terbongkar

TAKTIK seorang lelaki mengedar dadah disyaki serbuk ekstasi dengan menggunakan paket serbuk minuman perisa buah-buahan yang dicampur dadah itu terbongkar apabila dia ditahan polis di hadapan lif di sebuah kondominium di Jalan Medan di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata penganggur berusia 20 tahun yang berasal dari Gua Musang, Kelantan itu ditahan pada 11.45 malam hasil risikan pihaknya sejak sebulan lepas dan susulan penahanannya, polis menemukan 5.67 kilogram dadah disyaki serbuk ekstasi dianggarkan bernilai RM187,000.

“Hasil pemeriksaan di kondominium disewa lelaki itu, polis merampas satu bungkusan beg plastik mengandungi dua paket plastik berwarna ungu bertulisan ‘Versace’ dan dua paket plastik berwarna hijau bertulis ‘Kenzo’ disyaki serbuk campuran dadah jenis ekstasi dalam serbuk minuman perisa buah-buahan.

“Susulan itu, polis memeriksa sebuah kereta Proton Saga berwarna putih yang diletakkan di tempat letak kereta di kondominium tersebut dan menemukan 20 paket plastik berwarna merah bertulis ‘Hermes Paris’ disyaki berisi campuran serbuk ekstasi dan serbuk minuman perisa buah-buahan yang disimpan di dalam kotak di bahagian but kereta tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Yahaya berkata dengan dipandu arah oleh lelaki itu, polis kemudian memeriksa seunit kediaman lain di kondominium tersebut dan merampas 64 paket plastik dan satu plastik yang disyaki berisi serbuk campuran ekstasi.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai mendapat bekalan serbuk ekstasi tersebut dari negeri lain dan dijual kepada penagih dadah di sekitar Ipoh.

Menurut Yahaya, lelaki yang memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah itu didapati negatif terhadap dadah dan pihaknya kini sedang menyiasat sekiranya terdapat individu lain yang terlibat dalam pengedaran dadah tersebut. 

Katanya lelaki itu kini direman enam hari hingga Khamis ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *