Tag: penganggur

  • Penganggur mengaku tak salah hina Sultan Johor

    Penganggur mengaku tak salah hina Sultan Johor

    SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Facebook.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Indera Mulia Ahmad didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat komen yang didakwa menyinggung orang lain di Facebook pada 21 April lalu.

    Jika sabit kesalahan, dia berdepan denda sehingga RM50,000, penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, serta denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berulang selepas sabit kesalahan.

    Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan membenarkan Indera diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mei untuk sebutan kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn, manakala Indera tidak diwakili peguam.

    Awal minggu ini, Bukit Aman menahan seorang lelaki di Puchong, Selangor kerana didakwa menghina Sultan Ibrahim.

    Polis turut merampas telefon dan kad Sim lelaki itu.

  • Berang cinta ditolak, penganggur bakar kedai telefon bimbit

    Berang cinta ditolak, penganggur bakar kedai telefon bimbit

    SEORANG penganggur bertindak membakar sebuah kedai telefon bimbit tempat wanita diminatinya bekerja di Teluk Intan selepas dipercayai berang cintanya ditolak.

    Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, pengadu wanita berusia 46 tahun berkenaan membuat aduan di Balai Polis Langkap pukul 3.19 petang, hari ini.

    Beliau berkata, pengadu memaklumkan bahawa dirinya diganggu suspek ketika berada di kedai telefon bimbit di Jalan Besar Langkap pada pukul 2.30 petang tadi.

    “Suspek seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun, tiada pekerjaan datang ke kedai dan mengamuk sehingga mencederakan pengadu dan melemparkan kata-kata berunsur lucah.

    “Suspek turut mengancam keselamatan pengadu dengan mengugut akan membakar pengadu dan tempat kerja pengadu.

    “Disebabkan terlalu takut, pengadu bergegas ke Balai Polis Langkap untuk membuat laporan,” katanya, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Adnan berkata, semasa laporan dibuat, kedai tempat pengadu bekerja yang juga milik adiknya dilaporkan terbakar.

    “Bomba datang ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan kebakaran. Anggaran kerugian dialami lebih kurang RM100,000.

    “Berdasarkan maklumat daripada saksi di tempat kejadian, polis berjaya menahan suspek yang dilihat menyimbah petrol lalu membakar kedai terbabit.

    “Motif kejadian dipercayai berpunca cinta suspek ditolak oleh pengadu. Suspek beberapa bulan kebelakangan ini sering datang ke kedai dalam keadaan mabuk dan cuba memikat pengadu tetapi pengadu menolak dengan cara baik kerana sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak,” katanya.

    Sementara itu Ahmad Adnan memberitahu, suspek turut mengalami kecederaan melecur di bahagian muka, tangan dan kaki .

    “Suspek ditangkap dalam keadaan mabuk dipercayai di bawah pengaruh alkohol, kini dimasukkan ke Wad Hospital Teluk Intan untuk rawatan susulan.

    “Suspek direman lima hari untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 435/323 Kanun Keseksaan,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

  • Bilangan penganggur Ogos turun, kadar pengangguran kekal 3.7 peratus

    Bilangan penganggur Ogos turun, kadar pengangguran kekal 3.7 peratus

    JUMLAH penganggur pada Ogos tahun ini menunjukkan penurunan kepada 612,000 orang berbanding 620,700 orang pada Julai tahun yang sama.

    Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bagaimanapun memaklumkan, kadar pengangguran pada Ogos 2022 kekal pada 3.7 peratus.

    Lapor Astro Awani, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kedudukan pasaran buruh pada bulan Ogos 2022 kekal stabil berikutan prestasi ekonomi yang semakin baik dan memberangsangkan.

    “Aktiviti perniagaan serta sosial terus beroperasi seperti biasa telah membolehkan ekonomi pulih semula dengan lebih kukuh dan keperluan tenaga buruh semakin meningkat.

    “Bilangan tenaga buruh pada Ogos 2022 semakin kukuh dengan peningkatan sebanyak 30,500 orang atau bersamaan dengan peningkatan 0.2 peratus kepada 16.63 juta orang berbanding 16.60 juta orang pada Julai 2022.

    “Justeru, kadar penyertaan tenaga buruh terus merekodkan peningkatan sebanyak 0.1 mata peratus kepada 69.7 peratus pada bulan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, bilangan penduduk bekerja pada bulan Ogos 2022 terus stabil dengan merekodkan peningkatan sebanyak 39,300 orang atau 0.2 peratus kepada 16.02 juta orang (Julai 2022: 15.98 juta orang).

    Jelas Mustapa, kerajaan akan terus melaksanakan inisiatif bagi memastikan kadar pengangguran kekal rendah termasuklah dengan meneruskan insentif penggajian kepada majikan dan memudah cara pencarian pekerjaan.

    Antara 1 Januari 2022 hingga 30 September 2022, seramai 58,550 orang telah mendapat manfaat di bawah Program JaminKerja – Insentif Penggajian.

    Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga telah berjaya melakukan penempatan pekerjaan untuk 143,643 orang dalam tempoh yang sama.

  • Edar dadah 89.8 gram, penganggur dihukum gantung sampai mati

    Edar dadah 89.8 gram, penganggur dihukum gantung sampai mati

    SEORANG penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini, kerana mengedar dadah methamphetamine seberat 89.8 gram pada September 2016.

    Memetik laporan Berita Harian, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohamad Hafizul Che Mohamad Zahid, 30, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan pada akhir kes pembelaan.

    Mohamad Abazafree dalam alasan penghakiman berkata, mahkamah mendapati keterangan tertuduh adalah meragukan dan bercanggah dengan pihak pendakwaan.

    “Secara amnya, pembelaan Mohamad Hafizul berpaksikan versi sama sekali berbeza dengan pihak pendakwa raya.

    Malah, saksi-saksi yang ditampilkan juga memberi keterangan yang meragukan dan bercanggah. Justeru, selepas membuat penilaian maksimum, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

    “Mahkamah tiada pilihan dan Mohamad Hafizul dihukum dengan hukuman mati dan akan ditahan sehingga satu tarikh sebelum digantung,” katanya.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya methamphetamine seberat 89.8 gram.

    Kesalahan itu dilakukan tertuduh di hadapan sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Pasir Pekan Hilir, Wakaf Bharu, Tumpat, jam 4.20 petang pada 22 September 2016.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Arshad dan tertuduh diwakili peguam, Ridhuwan Ismail.

    Terdahulu, Ridhuwan memohon hukuman setimpal memandangkan tertuduh sudah ditahan enam tahun iaitu sejak enam tahun lalu ketika tertuduh berusia 24 tahun.

    Katanya, tertuduh juga tidak pernah mempunyai rekod jenayah dan dadah sebelum ini, selain memberi kerjasama baik sepanjang kes perbicaraan berlangsung.

    Norazlinawati bagaimanapun berkata, hukuman setimpal perlu dikenakan memandangkan kes dadah semakin berleluasa.

    Katanya, mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam dan hukuman setimpal mampu memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

  • Jumlah penganggur meningkat, kadar pengangguran kekal

    Jumlah penganggur meningkat, kadar pengangguran kekal

    JUMLAH penganggur di negara ini mengalami sedikit kenaikan kepada 778,200 ketika kadar pengangguran bulan Julai kekal pada 4.8 peratus.

    Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, jumlah guna tenaga terus mencatatkan penurunan namun pada kadar yang perlahan manakala pengangguran mencatatkan sedikit peningkatan.

    Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada awal Julai berkata, seluruh negara diletakkan di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berikutan peningkatan mendadak jumlah kes baharu Covid-19 dan kadar vaksinasi yang semakin tinggi.

    Katanya, lapan negeri yang beralih ke Fasa 2 PPN, membawa kepada beberapa kesan positif terhadap ekonomi dan seterusnya kepada kedudukan tenaga buruh di negeri-negeri tersebut.

    Berdasarkan sektor ekonomi, semua sektor mencatatkan penurunan bulan ke bulan kecuali sektor perkhidmatan dengan perubahan positif yang kecil.

  • Taktik edar ekstasi guna paket serbuk perisa minuman terbongkar

    Taktik edar ekstasi guna paket serbuk perisa minuman terbongkar

    TAKTIK seorang lelaki mengedar dadah disyaki serbuk ekstasi dengan menggunakan paket serbuk minuman perisa buah-buahan yang dicampur dadah itu terbongkar apabila dia ditahan polis di hadapan lif di sebuah kondominium di Jalan Medan di sini, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata penganggur berusia 20 tahun yang berasal dari Gua Musang, Kelantan itu ditahan pada 11.45 malam hasil risikan pihaknya sejak sebulan lepas dan susulan penahanannya, polis menemukan 5.67 kilogram dadah disyaki serbuk ekstasi dianggarkan bernilai RM187,000.

    “Hasil pemeriksaan di kondominium disewa lelaki itu, polis merampas satu bungkusan beg plastik mengandungi dua paket plastik berwarna ungu bertulisan ‘Versace’ dan dua paket plastik berwarna hijau bertulis ‘Kenzo’ disyaki serbuk campuran dadah jenis ekstasi dalam serbuk minuman perisa buah-buahan.

    “Susulan itu, polis memeriksa sebuah kereta Proton Saga berwarna putih yang diletakkan di tempat letak kereta di kondominium tersebut dan menemukan 20 paket plastik berwarna merah bertulis ‘Hermes Paris’ disyaki berisi campuran serbuk ekstasi dan serbuk minuman perisa buah-buahan yang disimpan di dalam kotak di bahagian but kereta tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Yahaya berkata dengan dipandu arah oleh lelaki itu, polis kemudian memeriksa seunit kediaman lain di kondominium tersebut dan merampas 64 paket plastik dan satu plastik yang disyaki berisi serbuk campuran ekstasi.

    Beliau berkata lelaki itu dipercayai mendapat bekalan serbuk ekstasi tersebut dari negeri lain dan dijual kepada penagih dadah di sekitar Ipoh.

    Menurut Yahaya, lelaki yang memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah itu didapati negatif terhadap dadah dan pihaknya kini sedang menyiasat sekiranya terdapat individu lain yang terlibat dalam pengedaran dadah tersebut. 

    Katanya lelaki itu kini direman enam hari hingga Khamis ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA

  • Hempuk kepala abang ipar dengan periuk, penganggur dipenjara  5 bulan

    Hempuk kepala abang ipar dengan periuk, penganggur dipenjara 5 bulan

    MAHKAMAH Majistret Selayang hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima bulan ke atas seorang lelaki yang bertindak menghempuk kepala abang iparnya, seorang warga emas, dengan periuk sehingga menyebabkan kecederaan.

    Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu selepas Azmi Shahadan, 56, mengaku melakukan perbuatan itu terhadap Isnin Kulop, 72, di rumah mereka di Kampung Laksamana, Batu Caves dekat sini pada 11 pagi 6 Julai lepas.

    Tertuduh, yang masih bujang, didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

    Mahkamah memerintahkan Azmi menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 16 Julai lepas.

    Mengikut fakta kes, pada hari kejadian berlaku pertengkaran mulut antara Azmi dan Isnin yang berkesudahan dengan tertuduh bertindak mengambil sebiji periuk serta memukul kepala abang iparnya itu berkali-kali sehingga berdarah.

    Keluarga mangsa kemudian meleraikan pergaduhan itu dan menghubungi polis. Pihak polis yang tiba di lokasi kejadian terus membawa Azmi ke Hospital Selayang selepas tertuduh mendakwa dia mengalami masalah mental sejak 15 tahun lepas.

    Terdahulu, peguam M. Marippan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), merayu hukuman ringan atas alasan tertuduh tidak bekerja, masih bujang dan tinggal bersama-sama mangsa selain mendakwa dia juga mengalami masalah mental.

    Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal kerana mangsa mengalami kecederaan di kepala dan tindakan tertuduh yang menggunakan periuk sebagai alat untuk mencederakan mangsa.

    “Tertuduh telah dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta pada 16 Julai lepas untuk mendapatkan pemerhatian di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dan laporan perubatan forensik psikiatri mengesahkan dia waras serta sedar akan sifat dan akibat perbuatannya pada hari kejadian,” katanya.- BERNAMA