Oleh RIZQI ZABIDI

KERAJAAN Kedah menzahirkan penghargaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang meluluskan peruntukan berjumlah RM78 juta bagi membantu negeri ini menangani kemusnahan akibat tragedi kepala air di Gunung Jerai, Rabu lalu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kelulusan tersebut jelas menunjukkan keprihatinan dan sikap ambil berat Perdana Menteri terhadap nasib rakyat.

“Kerajaan negeri berterima kasih kepada Perdana Menteri yang telah meluluskan peruntukan segera berjumlah RM75 juta bagi membaik pulih kerosakan infrastruktur yang berlaku kesan bencana itu.

“Kami juga mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri untuk menyalurkan peruntukan bagi membaik pulih rumah penduduk terjejas berjumlah RM3 juta, melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kesemua peruntukan itu diumumkan Perdana Menteri selepas beliau mengadakan lawatan ke kawasan terjejas di Kuala Muda dan Yan dengan diiringi Muhammad Sanusi, semalam.

Muhammad Sanusi menambah, kesudian Perdana Menteri untuk mempertimbangkan peruntukan tambahan, khususnya bagi golongan petani amat dialu-alukan kerajaan negeri.

Katanya, perkara itu amat penting kerana daerah Yan selama ini menghasilkan jumlah pengeluaran padi yang tinggi bagi kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan bencana sememangnya membawa kemusnahan dan sudah tentu amat mendukacitakan.

“Namun kesudian Perdana Menteri membuat lawatan rasmi pertama ke negeri ini untuk melihat sendiri kesan tragedi selain memberi nasihat kepada mangsa, sekurang-kurangnya meredakan kesedihan ditanggung,” katanya.

Muhammad Sanusi dalam pada itu turut menyatakan setinggi-tinggi penghargaan terhadap keprihatinan Perdana Menteri memberi sumbangan berjumlah RM5,000 untuk keluarga mereka yang terkorban selain RM500 kepada keluarga terjejas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here