Oleh RAHIMI MOHAMAD

SERAMAI 54 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang kanak-kanak ditahan ketika sedang bersembunyi di Jalan Tanjung Balau-Sedili Kecil (Bio Desaru), Kota Tinggi semalam.

Kesemua PATI berusia lima hingga 52 tahun terdiri daripada seorang kanak-kanak, 42 lelaki dan 11 wanita tersebut disyaki baru sahaja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah dan bersembunyi di situ kerana gagal memasuki negara ini secara haram.

Menurut kentyaan Tentera Darat Malaysia (TDM) di sini, tangkapan itu dilakukan melalui operasi di bawah formasi Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) bagi Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

“Pada pukul 3.30 pagi, anggota petugas pos pemerhati telah mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di kawasan Bio-Desaru, Bandar Penawar. Hasil maklumat, pasukan telah mengatur gerak Tim Quick Reaction Force (QRF) ke kawasan itu bagi membuat penjejakan.

“Pada pukul 5 pagi, dengan bantuan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) bersama Tim QRF telah berjaya mengesan serta menangkap 54 PATI yang sedang bersembunyi di tepi pantai Jalan Tanjung Balau-Sedili Kecil (Bio Desaru),” jelas kenyataan itu.

Tambah TDM, matawang Indonesia IDR 43.5 juta bersamaan RM12,770 turut dirampas dalam operasi terbabit serta 43 buah telefon bimbit yang menjadikan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM23,108.

Kesemua PATI terbabit dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas.

“Laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

Pasukan turut meneruskan atur gerak Tim QRF dan bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan.

“Kerjasama agensi-agensi dalam Op Benteng akan terus dipertingkat bagi memastikan keselamatan perairan dan daratan negara bebas daripada aktiviti yang boleh mengancam keselamatan mahupun aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang,” kata TDM lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here