Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SINDIKET penipuan dan pemalsuan dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan surat pengesahan majikan di daerah ini mengaut untung RM37,500 hasil kegiatan dijalankan sejak Mac lalu.

Bagaimanapun sindiket yang menggunakan khidmat empat remaja berusia 16 hingga 19 tahun terbongkar setelah ditahan dalam serbuan di sekitar daerah ini, 5 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar setelah aktiviti pengikalanan yang dibuat menggunakan platform media sosial seperti di Facebook, Instagram serta aplikasi WeChat.

Beliau berkata, dua remaja lelaki dan dua remaja perempuan itu menerima upah antara RM50 hingga RM100 bagi setiap dokumen yang berjaya dijual.

Katanya, berdasarkan maklumat, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor dibantu JSJK Bukit Aman telah menjalankan operasi berasingan antara 8.30 hingga 10 malam bagi menahan empat suspek berkenaan.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengiklankan perkhidmatan mereka di media sosial. Sindiket ini turut mengubah suai surat kelulusan MITI sebuah syarikat yang beralamat di Kempas, di sini bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Sindiket ini menjual dokumen MITI dan surat pengesahan majikan yang dipalsukan pada harga RM150 dan sudah menjual sebanyak 250 keping ke seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru hari ini.

Dalam serbuan yang dijalankan, polis merampas sejumlah telefon bimbit dan kad bank yang digunakan dalam sindiket itu.

Ayob Khan berkata, polis kini sedang mengesan seorang individu bernama Nicholas Chai Jia Han, 21, yang dipercayai dalang sindiket berkenaan.

Tambahnya, alamat terakhir lelaki itu ialah di 49, Jalan Bukit Kontang, Taman Ria, Tangkak, bagi membantu siasatan.

“Masyarakat yang ingin merentas daerah dan negeri diingatkan supaya membuat permohonan dengan hadir ke balai polis berhampiran dan atas alasan pergerakan munasabah.

“Jangan ambil tindakan mudah dengan membeli dan menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here