UNTUK kesekian kalinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kecundang dalam mencapai angan-angannya menjadi Perdana Menteri.

Bukan rahsia lagi beliau mengidamkan jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara itu sejak mula menceburi politik bersama UMNO yang ketika itu diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Presidennya.

Sememangnya kerjaya politik Anwar sejak itu naik mencanak, hasil restu yang diberikan oleh Dr Mahathir.

Namun skandal moral dan krisis kewangan Asia Tenggara pada 1997 menjadi titik tolak kejatuhan kerjaya politik Anwar sehingga menyaksikan beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Beliau kemudian mengasaskan PKR dan melancarkan demonstrasi jalanan yang berselindung di sebalik slogan Reformasi untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Dr Mahathir yang ketika itu mencatatkan rekod sebagai Perdana Menteri paling lama berkuasa.

Namun, usaha Anwar gagal apabila pentadbiran Dr Mahathir berjaya mematahkan Reformasi tajaan Anwar walaupun gerakan yang sama berjaya menukar kerajaan di Indonesia.

Malah, faktor Anwar Ibrahim gagal membawa kemenangan kepada pakatan pembangkang yang dikenali sebagai Barisan Alternatif dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU-10) pada 1999.

Anwar juga gagal menghasilkan kejayaan buat pakatan pembangkang dalam PRU-11, PRU-12 dan PRU-13.

Nasib pembangkang berubah apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14.

Harus diingat, Anwar yang ketika itu bergelar Ketua Umum PKR tidak menyumbang secara aktif terhadap kemenangan PH kerana beliau masih meringkuk di dalam penjara.

Ramai pemerhati politik berpendapat bahawa faktor Dr Mahathir dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sebenarnya menyumbang kepada kemenangan PH.

Sememangnya, Anwar jenis manusia yang tidak mudah berputus asa, lebih-lebih lagi bila bersangkut paut dengan angan-angan menjadi Perdana Menteri.

Sebaik sahaja menerima pengampunan diraja, kerusi Parlimen Port Dickson tiba-tiba dikosongkan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding dalam pilihan raya kecil pada 13 Oktober 2018.

Walaupun menang bergaya, laluan beliau untuk bergelar Perdana Menteri kelapan masih belum terbuka kerana Dr Mahathir kelihatan agak keberatan untuk melepaskan jawatannya.

Setelah didesak bertubi-tubi oleh penyokong-penyokong tegar Anwar, Dr Mahathir akhirnya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari 2020, sekali gus menyebabkan rejim PH tumbang dengan sendiri selepas 22 bulan berkuasa.

Sekali lagi, Anwar dikecewakan apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin pula yang dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Peluang untuk menjadi Perdana Menteri kembali terbuka untuk Anwar setelah Muhyiddin meletak jawatan pada 16 Ogos lalu.

Nasib malang berterusan menyebelahi Anwar apabila terbukti beliau gagal meraih sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen dan terpaksa menelan realiti yang pahit bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lebih layak bergelar Perdana Menteri.

Ekoran kegagalan terbaharu Anwar itu, timbul cakap-cakap belakang dalam kalangan pimpinan PH, terutamanya mereka yang masih muda, menggesa agar pakatan pembangkang tersebut mengubah pendekatan dan strateginya dalam usaha untuk kembali berkuasa.

Timbul juga cadangan untuk merombak struktur kepimpinan PH yang selama ini terlalu taksub berpaksikan kepada Anwar.

Saranan itu memang wajar memandangkan PH bakal berdepan kesukaran untuk memancing keyakinan rakyat dalam PRU-15 setelah prestasi buruk mereka semasa menjadi kerajaan dahulu.

Faktor kegagalan Anwar juga akan menjadi beban yang menyukarkan usaha PH melakukan reformasi kepimpinan yang lebih segar serta diyakini rakyat serta akar umbi.

Ada juga pihak yang berpendapat sudah tiba masanya Anwar mengundurkan diri dari gelanggang politik tanah air.

Pada pandangan mereka, itulah jalan terhormat bagi Anwar setelah beliau gagal menjadi Perdana Menteri setelah 23 tahun mencuba.

Mungkin sudah ditakdirkan jawatan itu bukan miliknya. Kalau tidak, sudah lama Anwar bergelar Perdana Menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here