Warga emas didakwa kelar, bunuh isteri

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

SEORANG warga emas, Lim Hon Koi, didakwa atas pertuduhan mengelar leher dan membunuh isterinya di Taman Desa Cahaya di Gopeng, Ipoh, minggu lalu.

Prosiding kes itu dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh hari ini kerana tertuduh, 72, menerima rawatan radang usus.

Warga emas itu didakwa mengelar leher isterinya, Chan Moy, 74, dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu telah menyebabkan kematiannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam bilik tingkat bawah sebuah rumah di Taman Desa Cahaya, Gopeng antara pukul 8 malam pada 8 Ogos hingga 7.30 pagi 9 Ogos lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibacakan dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh dari Mahkamah Majistret Kampar namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nur Faizah kemudiannya menetapkan 30 September ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, laporan kimia dan toksikologi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *