Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PELANTIKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri babharu diharap dapat meneruskan agenda mengekang serta

memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, kemelut pelantikan Ismail Sabri yang dapat diselesaikan dalam keadaan aman itu juga diharap dapat memacu pemulihan ekonomi negara.

“Tahniah saya ucapkan kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan.

“Saya yakin Perdana Menteri dapat memimpin negara ke arah Malaysia yang lebih maju dan sejahtera.

“Dengan berakhirnya kemelut ini, saya mengajak semua pimpinan sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang supaya tetap memberi fokus terhadap usaha menangani pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pelantikan itu selepas baginda menerima surat akuan seramai 114 ahli Dewan Rakyat sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, berakhirnya kemelut pelantikan jawatan tertinggi negara itu, sudah tiba masanya wakil rakyat melakukan gencatan politik.

“Lakukan gencatan politik dan marilah bersama-sama membantu rakyat, khususnya di kawasan yang diwakili masing-masing,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here