Istana tidak

Istana tidak jemput kem PH, peluang Anwar malap?

AHLI Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) tidak dititahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, hari ini.

Memetik laporan BH Online, perkara itu disahkan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai memberitahu, Ahli Parlimen dari PKR tidak menerima jemputan daripada pihak istana untuk menghadap Seri Paduka bagi mengesahkan surat akuan (SD) sokongan kepada calon Perdana Menteri pilihan mereka.

“Tidak dapat jemputan. Itu kena tanya pihak istana,” katanya.

Perkembangan tersebut mencetuskan spekulasi berhubung kegagalan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraih sokongan yang mencukupi untuk merealisasikan angan-angannya sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Walaupun kem PH mendakwa Anwar beroleh 105 sokongan, Ahli Parlimen Port Dickson itu dikatakan gagal memancing undi daripada kem UMNO yang bersepakat menyokong pencalonan Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Peluang bekas Timbalan Perdana Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu dinamakan sebagai Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin cerah apabila beliau dikatakan menerima sokongan daripada 114 Ahli Parlimen.

Difahamkan, Ahli-ahli Parlimen dari parti-parti komponen PN juga memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Bera itu.

Hari ini juga, Ahli-ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dititahkan menghadap Seri Paduka di Istana Negara.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut mengesahkan bahawa 114 Ahli Parlimen yang menyokong Ismail Sabri menghadap Seri Paduka hari ini.

Ahli Parlimen Pontian itu mendakwa, hanya kumpulan yang menang sahaja dititahkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Mana-mana Ahli Parlimen yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri yang baharu perlu meraih sekurang-kurangnya 111 sokongan untuk melayakkannya dipertimbangkan bagi mengisi jawatan nombor satu dalam pentadbiran negara itu.

Walau bagaimanapun, seperti dititahkan oleh Seri Paduka semalam, Perdana Menteri kesembilan perlu mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat dengan segera bagi mengabsahkan bahawa beliau menerima kepercayaan majoriti Ahli-ahli Parlimen.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *