Oleh Abu Ubaidillah Rahman

SEBANYAK 22,948 kes positif Covid-19 dicatatkan hari ini di Malaysia berbanding 22,242 kes semalam.

Jumlah tersebut menjadikan kes positif Covid-19 mencatatkan jumlah tertinggi dua hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang berkongsikan ringkasan laporan dalam akaun Facebook miliknya berkata, ketika ini jumlah keseluruhan kes jangkitan COVID-19 di negara ini sebanyak 1,489,460.

Sembilan negeri dan wilayah mencatatkan kes empat angka, didahului Selangor dengan 7,175 kes jangkitan harian hari ini.

Ini disusuli Sabah dengan 2,583 kes; Kedah (2,137); Pulau Pinang (1,655); Johor (1,526); Kuala Lumpur (1,439); Kelantan (1,271); Perak (1,229) dan Sarawak, 1,206 kes.

Negeri lain turut mencatatkan pertambahan kes iaitu Melaka dengan 737 kes hari ini; Pahang (736); Terengganu (621); Negeri Sembilan (556); Perlis (42); Putrajaya (26) dan Labuan mencatatkan kes harian terendah, sembilan kes.

Sementara itu, kes sembuh daripada jangkitan COVID-19 harian mencatatkan rekod tertinggi setakat ini dengan 21,720 kes.

Pertambahan itu menjadikan jumlah kes sembuh daripada jangkitan COVID-19 di negara ini kini 1,220,446 atau 81.94 peratus daripada sejumlah 1,489,460 kes positif setakat ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada kes positif COVID-19 harian yang dilaporkan hari ini, sembilan daripadanya adalah kes import manakala 22,939 adalah penularan tempatan.

Katanya, sebanyak 178 kes kematian juga dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes kematian membabitkan COVID-19 kini mencecah 13,480 kes.

Seramai 1,060 pesakit COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 528 memerlukan bantuan pernafasan manakala kes aktif sebanyak 255,534 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menasihatkan, kelonggaran beberapa kemudahan untuk individu lengkap vaksinasi di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok, diberikan atas faktor ekonomi dan bukan kerana persekitaran sudah selamat daripada jangkitan COVID-19.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya terus memakai pelitup muka termasuk yang dua lapis jika perlu, mengamalkan penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan.

“Elak tempat sesak dan sempit. Jaga diri dan segera mengambil suntikan vaksin,” katanya menerusi Twitter, malam ini.

Terdahulu, Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata aktiviti ‘dine-in’ atau makan di restoran dibenarkan kepada individu terbabit berkuat kuasa esok.

Kemudahan tambahan lain bagi negeri Fasa 1 dan seterusnya termasuk aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi Pasar Malam dan Pasar Minggu.

Kemudahan tambahan itu diputuskan selepas mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara yang sudah melebihi 50 peratus, lebih awal daripada sasaran iaitu 31 Ogos.https://2458ca240aa106958e20ff5c8ee2a8b8.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here