EMPAT lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam, akhir bulan lepas.
Muhamad Ali Aswad Asngadu, 28, Mohd Hermy Rahim, 34, Ahmad Zaki Yamani Zainon, 45, dan Mohd Hafizuddin Rahmad, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.
Kesemua tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet melalui laman profil Twitter milik masing-masing secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen bersifat jelik ke atas Mohd Ali pada 28 Julai lepas.
Hantaran komen dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain itu telah dibaca pengadu pada 29 Julai sekitar pukul 1.07 pagi di Ujong Pasir, Kampung Atap di sini.
Kesemua tertuduh, masing-masing bekerja sebagai jurutera, ahli perniagaan, jurujual dan penyelia itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya sekali dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Timbalan Pendakwa Raya N. Sivasangari menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 setiap seorang selepas mengambil kira kerugian yang dialami mangsa.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 Sept depan dengan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis pada setiap bulan serta tidak mengganggu saksi sepanjang perbicaraan berlangsung.
Peguam Saiful Ambar Abdullah mewakili Ahmad Zaki Yamani manakala tiga tertuduh lain diwakili peguam P. Purshotaman. – BERNAMA
Leave a Reply