Oleh Abu Ubaidillah Rahman

POLIS Selangor menumpaskan dua kumpulan sindiket pengedaran dadah menerusi beberapa siri tangkapan sekitar Gombak dan Ampang Jaya, serta merampas dadah bernilai RM3.89 juta di Shah Alam awal bulan ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam operasi itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menangkap 17 suspek warga tempatan membabitkan 14 lelaki dan tiga wanita berumur lingkungan 26 hingga 65 tahun.

“Bagi kes pertama pukul 3 petang 6 Ogos lalu, polis menangkap tiga lelaki di kawasan perumahan di Batu Caves dan merampas 97 bungkusan hijau berisi dadah disyaki Methamphetamine dengan anggaran berat 100.74 kilogram (kg) serta sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza.

“Polis turut menangkap empat lagi lelaki dipercayai ahli kumpulan terbabit di empat lokasi berlainan sekitar kawasan Gombak, Selayang dan Cheras untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media secara maya, semalam.

Bagi kes pertama katanya, lima daripada tujuh suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah, malah hasil ujian saringan awal urin mendapati tiga suspek positif Opiate dan THC.

Arjunaidi berkata, nilai sitaan berjumlah RM448,420 iaitu wang tunai RM114,750; empat kenderaan bernilai RM240,000 dan wang dalam empat akaun berjumlah RM93,670.

Sementara itu, beliau berkata, kumpulan sindiket pengedaran dadah kedua pula diberkas di kawasan lot parkir kereta sebuah pasar raya di Ampang, pukul 11.15 pagi 8 Ogos lalu.

“Sepasukan polis berjaya menahan dua kenderaan jenis Toyota Estima dan Volkswagen Passat serta menangkap dua lelaki dan dua wanita di lokasi terbabit.

“Dalam pemeriksaan ke atas Volkswagen Passat, polis merampas tujuh bungkusan plastik berwarna hijau mengandungi dadah disyaki Methamphetamine anggaran berat 7.35 kg.

“Susulan itu, polis turut menangkap lima lelaki dan seorang wanita di enam lokasi berbeza sekitar Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati tujuh daripada 10 suspek kes kedua itu mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala tiga daripada mereka positif Methamphetamine.

“Nilai sitaan berjumlah RM976,720 membabitkan RM12,970 wang tunai, tujuh kenderaan berjumlah RM495,000; 12 barang kemas bernilai RM37,570, tiga utas jam tangan bernilai RM85,000 serta wang dalam 20 akaun berjumlah RM346,180,” katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan dadah dirampas dalam kedua-dua kes berjumlah RM3.89 juta dan keseluruhan sitaan kedua-dua kes berjumlah RM1.43 juta.

“Dadah dirampas dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk pasaran Lembah Klang dan Selangor. Kedua-dua kumpulan ini tiada kaitan, dipercayai aktif sejak enam bulan hingga setahun lalu.

“Semua suspek kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan Acara Jenayah dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here