Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menzahirkan hasrat agar kadar pemberian vaksin COVID-19 kepada rakyat khususnya di negeri Kelantan dapat dipercepatkan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar berkata baginda menzahirkan hasrat berkenaan agar rakyat negeri ini dapat mencapai imuniti kelompok sekali gus membolehkan rakyat untuk kembali keluar mencari sumber pendapatan seperti sediakala.

Beliau berkata, Sultan Muhammad V turut menzahirkan perasaan teruja dan sangat gembira melihat rakyat Kelantan yang telah ramai mendaftar untuk menerima vaksin.

“Pada masa sama baginda memahami kekangan yang dihadapi oleh rakyat…ada yang terpaksa menunggu masa terlalu lama bagi mendapatkan tarikh janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.

“Keprihatinan baginda sekali lagi diterjemahkan melalui titah baginda supaya Istana Balai Besar terus dibuka kepada rakyat sebagai tempat untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Istana Balai Besar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan bakul makanan kurniaan Sultan Muhammad V serta Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra kepada semua ketua jajahan di Kelantan sebagai simbolik penerimaan untuk diagihkan kepada rakyat terpilih yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Sumbangan berkenaan membabitkan sebanyak 1,600 bakul makanan yang akan diserahkan kepada setiap 10 jajahan termasuk 100 bakul untuk jajahan kecil Lojing.

Sementara itu, Tengku Azmi berkata setakat hari ini seramai 3,386 orang telah menerima suntikan vaksin dan 1,800 orang lagi akan menerima vaksin bermula hari ini hingga 19 Ogos menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Istana Balai Besar anjuran Pejabat Sultan Kelantan.

Katanya, jumlah itu menjadikan jumlah kumulatif seramai 5,186 orang menerima suntikan vaksin melalui Pejabat Sultan Kelantan.

“Namun begitu, pihak urus setia program pemberian vaksin COVID-19 anjuran Pejabat Sultan Kelantan ingin menegaskan bahawa penerima vaksin yang terpilih adalah mereka yang telah mendaftar melalui Pejabat Sultan Kelantan serta yang telah melepasi saringan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Perlu diambil perhatian juga bahawa pendaftaran secara ‘walk-in’ tidak akan diterima bagi mengelakkan orang ramai berkumpul dan berlakunya kesesakan,” katanya.

Beliau berkata Sultan Muhammad V serta Tengku Muhammad Faiz Petra juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga barisan hadapan yang berkorban masa dan tenaga untuk memastikan Malaysia khususnya negeri Kelantan bebas daripada penularan COVID-19.

“Baginda turut berdoa agar seluruh barisan hadapan yang sedang berjuang serta tidak mengenal erti penat lelah berkhidmat untuk masyarakat, diberikan kekuatan oleh Allah SWT bagi meneruskan perjuangan ini,” katanya.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here