SEORANG lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang dipandunya merempuh tembok plaza tol dalam kejadian di Plaza Tol Kubang Semang, Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) arah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan maut itu pukul 1 petang.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian didapati sebuah Toyota Avanza remuk teruk dengan pemandunya tersepit selepas melanggar tembok tol.
“Mangsa lelaki yang belum dikenal pasti identiti itu didapati tersepit dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penanti serta Perai menggunakan peralatan khas pukul 2.43 petang sebelum operasi ditamatkan pada pukul 2.51 petang.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku apabila MPV berkenaan yang dipercayai dipandu laju hilang kawalan sebelum melanggar tembok batu plaza tol terbabit.
Leave a Reply