SEORANG lelaki terbunuh dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 280, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) yang menyaksikan sebuah treler melintang menghalang trafik ke selatan pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 11.35 pagi selepas susur Nilai itu turut mengakibatkan empat lagi mangsa cedera dan kini tular di media sosial.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.43 pagi.
Katanya, lima buah kenderaan iaitu dua treler, dua kereta jenis Mitsubishi XPander dan sebuah BMW serta sebuah motosikal terlibat dalam kemalangan itu.
“Seramai 10 mangsa terlibat yang mana seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga pemandu lori treler maut di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu menambah, kesemua mangsa yang maut dan cedera telah dibawa ke hospital menaiki ambulan dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM.
Menurut Lembaga Lebuh Raya Malaysia, kemalangan itu mengakibatkan kesesakan arah selatan sejauh tujuh kilometer dan trafik terpaksa dilencongkan di susur Tol Nilai.
Nahas yang mengakibatkan treler melintang di atas lebuhr aya itu turut mengakibatkan kesesakan lebih lima kilometer menuju ke arah selatan.