Oleh Rizqi Zabidi
TUDUHAN dibuat seorang ahli parti pembangkang berhubung penganugerahan projek kerajaan negeri Kedah yang didakwa dilakukan melalui salah guna kuasa, dibuat secara tidak cermat selain cuma propaganda politik semata-mata.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, hakikatnya kerajaan negeri tidak pernah sama sekali menganugerahkan sebarang projek kerajaan bernilai kira-kira RM1 bilion seperti dinyatakan dalam tuduhan tersebut.
Malah katanya, kerajaan negeri juga tidak memiliki wang sebanyak itu untuk melaksanakan projek pembangunan, apatah lagi bagi melancarkan projek berkaitan litar lumba seperti didakwa individu berkenaan.
Beliau berkata, projek litar lumba yang dicadangkan akan dibangunkan oleh Open Road Asia Sdn. Bhd. di Langkawi seperti diuar-uarkan pada April lalu, adalah projek pelaburan syarikat swasta yang menjalin kerjasama bersama Permodalan Kedah Berhad (PKB) selaku pemilik tanah.
“Rundingan dan kerjasama projek ini melibatkan antara sebuah syarikat dengan syarikat lain iaitu Open Road Asia Sdn. Bhd. dan PKB. Bukan antara seorang individu dengan individu yang lain.
“Oleh itu tuduhan mengatakan terdapat individu berstatus muflis terbabit dalam syarikat swasta berkenaan adalah urusan syarikat itu sendiri dan tiada kaitan dengan kerajaan negeri Kedah,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Pagi semalam, seorang ahli PKR Cabang Sungai Siput, Indrani Selvakumar membuat laporan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Muhammad Sanusi yang didakwa menyalahgunakan kuasa dalam pemberian sebuah projek berkaitan sektor pelancongan di negeri ini.
Indrani mendakwa dia mempunyai bukti bahawa projek bernilai RM1 bilion itu dianugerahkan kepada sebuah syarikat yang mana salah seorang individu di dalamnya, dikatakan berstatus muflis.
Individu yang muflis itu dikatakan merupakan pengasas selain memegang status selaku salah seorang pengarah dalam syarikat tersebut.
Muhammad Sanusi menambah, kerajaan negeri sentiasa telus dan mengamalkan tahap integriti tertinggi dalam melaksanakan sebarang projek pembangunan di negeri ini.
“Kami sedar pencapaian Kedah dalam sektor pelaburan sangat memberangsangkan untuk tempoh setahun ini hingga mengundang rasa cemburu banyak pihak yang hanya ingin melihat kami jatuh dan gagal.
“Pencapaian dan kepercayaan pelabur untuk melabur di Kedah adalah bukti kesungguhan dan ketelusan kami bekerja untuk rakyat negeri ini,” katanya.
Leave a Reply