POLIS meminta orang ramai berhenti berkongsi video seorang lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan berbogel di Jalan Muthu Palaniappan, Bukit Mertajam, Pulau Pinang seperti yang tular di media sosial ketika ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, perkara itu bagi menjaga sensitiviti ahli keluarga lelaki berkenaan.
Menurut beliau, siasatan pihaknya mendapati individu tersebut mempunyai masalah mental sejak kebelakangan ini.
“Lelaki itu dikatakan sering dilihat bercakap sendirian dan ekoran kejadian itu, dia telah dirujuk ke Hospital Seberang Jaya bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, video berdurasi hampir 30 saat itu yang dirakam seorang penunggang motosikal dikongsi menerusi beberapa kumpulan aplikasi WhatsApps sejak semalam.
Video itu memperlihatkan seorang lelaki tempatan menunggang motosikal dalam keadaan berbogel tanpa memakai topi keledar namun tarikh dan waktu kejadian tidak dapat dipastikan.
Leave a Reply