TAN Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada Shahmira Muhamad atau Shuib Sepahtu atas pemergian isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, yang meninggal dunia akibat Covid-19 awal pagi ini.
Perdana Menteri berkata, khabar duka kehilangan anak seni yang cukup berbakat itu meninggalkan suami, empat anak dan seorang bayi dalam keadaan Allahyarham bertarung nyawa di hospital, amat memilukan.
”Bukan sahaja ahli keluarga dan para peminatnya, bahkan seluruh rakyat Malaysia termasuk saya turut bersedih,” katanya melalui Facebook hari ini.
Muhyiddin juga berharap, ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham tabah menghadapi detik-detik yang mendukacitakan itu.
”Marilah kita berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solehah. Semoga Allah SWT terus melindungi dan memberi kekuatan kepada kita semua untuk berjuang memerangi pandemik ini. Insya-Allah.
”Ya Allah, ampunilah, rahmatilah dan redailah mereka yang telah terkorban akibat virus berbahaya ini. Moga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan moga keluarga yang ditinggalkan terus kuat mengharungi hari-hari mendatang,” katanya.
Leave a Reply