PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu begitu ghairah bercakap soal keabsahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, soal kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional dan soal Kerajaan interim.

Malah MKT juga membuat dua keputusan yang menggegarkan negara iaitu menarik sokongan kepada Muhyiddin pada 7 Julai lalu disusuli penarikan daripada kerajaan PN pada 3 Ogos lalu.

Berikutan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan telah menghantar surat kepada semua ahli Parlimen UMNO di dalam kerajaan dan GLC. Mereka diberi pilihan untuk sama ada terus menyokong kerajaan PN dengan berisiko untuk dipecat atau meletakkan jawatan.

Persoalannya, apakah segala tindakan, keputusan atau kedudukan kesemua ahli MKT termasuk Ahmad Zahid sah dari segi undang-undang? Dan adakah Ahmad Zahid mempunyai keabsahan sebagai Presiden parti? Adakah MKT UMNO yang wujud selepas 30 Jun adalah MKT interim?

Perkara ini ditimbulkan selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) semalam, yang memaklumkan tindakan UMNO menangguhkan pemilihan parti itu adalah tidak sah.

Sebelum mengulas lebih lanjut berikut adalah pandangan satu sumber kepada penulis ketika diminta mengulas surat RoS itu;

Pada 6 Ogos 2021, Surat Ketua Pengarah RoS menyatakan keputusan Mesyuarat MKT UMNO mengenai penangguhan pemilihan parti itu adalah tidak sah.

Perlu difahami bahawa keputusan RoS ini adalah berdasarkan Surat SUA (Setiausaha Agung) UMNO kepada Ketua Pengarah ROS pada 30 Julai 2021 iaitu bersama Minit Mesyuarat MKT UMNO 7 Julai 2021 yang mengabsahkan keputusan (resolusi edaran / pekeliling 18 Jun 2021).

Surat ini adalah lanjutan tuntutan RoS terhadap UMNO seperti mana yang telah dinyatakan di dalam surat RoS pada 19 Julai 2021.

Jika diteliti daripada Surat RoS pada 19 Julai 2021, bukan hanya menyatakan bahawa RoS tiada halangan tentang penangguhan pemilihan mengikut Perkara 10.16 Perlembagaan UMNO, tetapi RoS juga memerlukan daripada pihak SUA UMNO mengemukakan maklumat terperinci mengenai keputusan MKT UMNO kepada RoS bagi tujuan dan pengesahan selanjutnya.

Pada pandangan RoS bahawa tempoh tamat MKT UMNO pada 30 JUN 2021 dan keputusan MKT UMNO untuk menangguhkan pemilihan jawatan selama 18 bulan pada 7 Julai 2021 adalah tidak sah. Ini kerana keputusan MKT bagi mengabsahkan keputusan Resolusi Edaran dibuat selepas tempoh akhir penggal iaitu 30 Jun 2021.

Walaupun secara teknikalnya Resolusi Edaran dibuat pada 18 Jun 2021, tetapi mengabsahkan keputusan ini dibuat selepas tempoh tamat 30 Jun 2021 iaitu pada 7 Julai 2021.

Menggunakan alasan MKN dan KKM adalah tidak relevan. Ini kerana perkara utama adalah kelemahan dalam mentadbir parti bagi menentukan tarikh akhir sepatutnya keabsahan keputusan Resolusi Edaran dibuat. Setiausa Agung UMNO sewajarnya mengambil tanggungjawab atas kelemahan ini.

Apa yang lebih menarik, jika keputusan MKT yang dibuat pada 7 Julai adalah tidak sah, bagaimana pula keputusan-keputusan MKT yang telah dibuat selepas 30 Jun 2021 khususnya berkaitan penarikan sokongan terhadap YAB Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional?

Perkara ini perlu diselesaikan dengan segera. Jika pemilihan parti adalah penyelesaiannya, Setiausaha UMNO perlu akur dan mengambil tanggungjawab ini tanpa menyalahkan keadaan semasa. Dengan kemudahan teknologi pada masa kini, UMNO mampu membawa perubahan dan meneruskan demokrasi dalam parti mengikut SOP Covid yang telah ditetapkan.

UMNO perlu menjadi contoh kepada rakyat bahawa UMNO pendokong kepada demokrasi. UMNO mampu membuat pemilihan parti berasaskan norma baru.

Berdasarkan hujah yang dinyatakan adalah jelas ketika Ahmad Zahid dan pemimpin-pemimpin begitu lantang mengkritik dan mengecam kerajaan dalam soal menguruskan pandemik Covid-19  kerana menganggap kerajaan gagal, rupa-rupanya mereka  sendiri dilihat gagal menguruskan parti dengan baik.

Walaupun Ahmad Maslan menyatakan, UMNO akan menjawab surat RoS pada minggu depan namun ia tidak akan menutup persoalan mengenai keabsahan Ahmad Zahid sebagai Presiden dan ahli-ahli MT yang lain.

Manakala segala keputusan MT termasuk dalam soal menarik sokongan kepada Muhyiddin dan Kerajaan PN boleh dipersoalkan atau lebih tepat lagi boleh dianggap tidak sah sehinggalah RoS membuat keputusan baharu.

‘’Sebarang tindakan ke atas ahli-ahli Parlimen UMNO yang enggan meletakkan jawatan dalam kerajaan dan GLC jika dilakukan juga akan mencetuskan persoalan perundangan. Oleh itu lebih baik kepemimpinan UMNO tumpukan selesaikan masalah dengan RoS  daripada mahu menumbangkan kerajaan PN,’’ kata satu sumber lain.

Pada masa masa kata sumber itu berkata, tidak perlulah membangkitkan soal kenapa parti lain boleh menangguhkan pemilihan, UMNO tidak boleh.

‘’Ini bukan soal parti lain boleh tangguh tapi UMNO tak boleh tangguh. Ini soal perundangan. Penangguhan dibuat selepas tamat tempoh yang dibenarkan mengikut Perlembagaan UMNO.

‘’Dan persoalan undang-undang seterusnya, apakah pertanyaan melalui WhatsApp boleh dianggap sebagai  ‘circular resolution’ kerana tiada tandangan. Apakah keputusan yang dibuat dalam MT membayangkan penangguhan tanpa surat rasmi kepada ROS itu dianggap sebagai sah.

‘’Adakah keputusan meneruskan pemilihan yang dihantar kepada RoS juga membuktikan UMNO tidak berniat untuk menangguhkan pemilihan. Ini semua persoalan undang-undang yang perlu dijawab,’’ tegas sumber itu.

Kesimpulannya, kepemimpinan UMNO perlu menyelesaikan kelemahan pentadbiran tersebut yang mungkin boleh meletakkan parti di ambang pengharaman.

Pemimpin UMNO boleh berhujah apa sahaja dan cuba mengaitkan ia dengan usaha kerajaan melemahkan UMNO tetapi RoS sudah pasti tidak akan membuat tindakan membuta tuli atau sembrono tanpa berpandu kepada undang-undang.

Justeru UMNO perlu akur jika RoS mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan pada September ini. Ia bagi menentukan KEABSAHAN Zahid sebagai Presiden berikutan KEGAGALAN parti itu dari segi pentadbiran dalaman dan perlu bersedia mewujudkan MKT INTERIM termasuk PRESIDEN INTERIM jika pemilihan tidak dapat diadakan berikutan pandemik Covid-19.

Apa yang berlaku adalah pengajaran kepada kepemimpinan UMNO untuk memahami dalam politik, berhati-hatilah,janganlah terlalu melihat kain orang lain terkoyak sedang kain sendiri sudah terlondeh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here