Oleh RAHIMI MOHAMAD

SURAT didakwa daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada perdana menteri berkenaan Ordinan Darurat yang tular di media sosial sejak Jumaat lepas adalah palsu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika mengesahkan berkata, satu laporan polis telah dibuat.

“Tidak betul…yang surat pertama itu sah bahawa Yang di-Pertuan Agong dukacita, tapi surat selepas itu ada yang tidak betul dan ditambah-tambah… Sudah ada laporan polis yang dibuat. 

“Ada Ahli Parlimen yang mengeluarkan dokumen palsu, kita ada bukti tetapi kita tidak mahu ambil tindakan tapi kalau nak cabar kerajaan, maka kita terpaksa ambil tindakan. Kita boleh ambil tindakan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada 15 badan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur.

DI JOHOR BHARU, SRIKANDI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa tindakan ke atas pihak yang melakukan khianat atau sabotaj hingga boleh menggugat kestabilan dan keharmonian negara apabilamenyebarkan surat tersebut.

Ketuanya, Mastura Mohamad berkata, polis perlu menyiasat bagaimana ‘sura’t yang bertarikh 29 Julai sekiranya tulen itu dibocorkan dan disebar dengan meluas termasuk dalam media sosial.

“Kami memandang serius dengan perkara terbabit yang dilihat satu tindakan yang tidak bertanggungjawab hingga boleh mewujudkan rasa resah rakyat berhubung hubungan antara istana dan kerajaan.

“Tanpa gangguan pihak yang berniat serong, kami yakin bahawa sebarang isu berbangkit akan dapat diselesaikan secara harmoni berpandukan semangat saling hormat-menghormati sejajar dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mastura sebelum itu mewakili sayap parti berkenaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di ibu negara.

Beliau turut mengajak semua pihak untuk kembali menumpukan sepenuh perhatian dan menggembleng segala sumber untuk bersama-sama kerajaan memerangi Covid-19 dan memulihkan kesejahteraan hidup rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here