Orang politik jangan jual nama rakyat, demokrasi


ANALISIS


HAMPIR dua bulan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kes Covid-19 masih mencatatkan lima angka.

Penularan wabak berlaku di peringkat global sehingga menyebabkan banyak pihak sengsara terutama berkaitan aspek ekonomi dan sosial.

Bagi rakyat marhaen, mereka menghitung detik menaruh harapan agar ada cahaya di kemudian hari. Dengan situasi ekonomi yang terus merundum, harapan mereka hanyalah untuk mengenyangkan anak-anak dan membayar segala hutang.

Namun, bagi ahli politik oportunis , dalam keadaan kes yang masih tinggi ini, ia juga boleh dianggap peluang untuk cuba menangguk di air keruh. Mereka menjaja nama rakyat dan demokrasi sehingga sanggup berkumpul di Parlimen dengan mengetepikan risiko penularan wabak Covid-19.

Kalau ada yang cuba meratib dan persoalkan apakah bezanya tindakan berkumpul di Parlimen dengan pemimpin lain yang langgar prosedur operasi standard (SOP) sebelum ini, itu perbandingan dangkal. Tanpa mengira sesiapa pun, yang salah tetap salah. Tiada pemimpin mengatasi undang-undang dan individu terlibat perlu dihukum.

Kalau ada yang terlepas, mereka perlu ingat rakyat sedang memerhati. Malah, rakyat boleh kemukakan bukti dengan adanya perkembangan teknologi.

Memanglah demokrasi secara asasnya merupakan kebebasan dalam pelbagai aspek meliputi media, hak untuk bersuara, sistem kehakiman yang adil dan pelbagai lagi. Namun pada masa sekarang, pemimpin juga harus ingat demokrasi sahaja tidak cukup merungkai masalah dihadapi rakyat pada masa kini terutama mengenai isi perut mereka.

Negara perlukan sistem dan pelan yang mampu meningkatkan ekonomi negara ke arah lebih baik kerana dengan cara itulah ia boleh mengubah nasib rakyat. Adakah tindakan berkumpul semalam dan Sabtu lalu menjamin pengurangan kes Covid-19?

Sebenarnya ia boleh mengundang padah untuk mencetuskan kluster baru. Sekalipun ada kelompongan di Parlimen tempoh hari sehingga membawa kepada pertikaian antara kerajaan dan istana serta pihak pembangkang, tindakan semalam dan Sabtu lalu bukan penyelesaiannya.

Kita rakyat perlu ingat, demokrasi sahaja tidak akan menyelesaikan masalah. Kehidupan kita dilingkari dan didatangkan sekali dengan undang-undang, agama dan moral.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *