Pakej bantuan, rangsangan ekonomi bantu rakyat,ekonomi bertahan ketika COVID-19

LAPAN pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion dilaksanakan sejak pandemik COVID-19 melanda negara membuktikan kerajaan mendengar dan bertindak supaya rakyat dan ekonomi terus bertahan dalam tempoh mencabar ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kesemua pakej itu dilaksana bagi melindungi nyawa melalui tiga fokus utama iaitu pengukuhan sistem kesihatan awam dan vaksinasi kebangsaan, melindungi rakyat dan menjamin kelangsungan perniagaan.

“Paling utama sekarang, kita perlu giatkan usaha memvaksinasi sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di seluruh negara. Saya pasti rakyat tidak mahu lagi menoleh ke belakang setelah terkurung untuk tempoh sekian lama.

“InsyaAllah, tahun ini, once and for all (buat kali terakhir), kita tamatkan segala duka durjana,” katanya ketika memberikan penerangan berkenaan pakej-pakej bantuan ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata program vaksinasi kebangsaan merupakan kunci utama kejayaan negara melawan COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menjelas lanjut, Tengku Zafrul berkata bagi mengoptimum keupayaan sistem kesihatan awam,  Kementerian Kesihatan (KKM) dibekalkan peruntukan khas lebih RM3.7 bilion khusus sebagai perbelanjaan berkaitan pandemik COVID-19.

Beliau berkata antaranya peruntukan menerusi pakej PRIHATIN berjumlah RM1.6 bilion, RM1.4 bilion melalui Belanjawan 2021 dan peruntukan tambahan lebih RM500 juta di bawah pakej PEMERKASA Tambahan.

Katanya kerajaan juga mengumumkan bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berjumlah RM18 bilion yang telah memanfaatkan 11 juta penerima.

“Bantuan BPN telah banyak memberi kelegaan kepada rakyat malah ada juga yang menggunakannya sebagai modal untuk berniaga kecil-kecilan,” katanya sambil menambah inisiatif itu diteruskan di bawah pakej PEMULIH melalui tiga lagi program bantuan tunai iaitu Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Khas COVID-19 dan Bantuan Kehilangan Pendapatan.

Tengku Zafrul berkata kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah lebih RM200 juta untuk program bantuan Bakul Makanan yang menerima banyak permintaan supaya program seumpama itu dapat diteruskan.

Beliau berkata kerajaan turut membantu golongan sasar seperti belia, pelajar, wanita dan ibu tunggal serta pencari kerja dan pelatih.

Menurutnya, di bawah inisiatif PenjanaKerjaya 2.0, lebih 141,000 orang berjaya diambil bekerja manakala lebih 39,300 orang mendapat pekerjaan melalui Program Pekerjaan Jangka Pendek (MySTEP) yang menawarkan gaji antara RM1,400 dan RM2,000 sebulan, setakat 30 Jun lepas.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *