Tag: Wisma Putra

  • Armada Bersatu desak Wisma Putra panggil Duta Besar Sweden, Denmark

    Armada Bersatu desak Wisma Putra panggil Duta Besar Sweden, Denmark

    ARMADA Bersatu mendesak Wisma Putra memanggil kedua-dua Duta Besar Denmark dan Sweden ke Malaysia bagi menyatakan bantahan keras negara ini terhadap jenayah keji ahli politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan di Stockholm baru-baru ini.

    Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan memanggil duta berkenaan adalah penting untuk menunjukkan bahawa Malaysia memandang serius perkara itu.

    Menurutnya, ia juga bagi menunjukkan negara ini tidak akan bertolak ansur dengan jenayah yang telah berulang kali dilakukan oleh ahli politik itu.

    “Armada mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keji membakar Al-Quran oleh Paludan di Stockholm.

    “Ia dengan malangnya dibenarkan oleh kerajaan Sweden di atas nama kebebasan bersuara; yang mana Armada membantah sekeras-kerasnya pendirian yang diambil oleh kerajaan Sweden kerana kami percaya bahawa kebebasan bersuara bukanlah termasuk kebebasan untuk menghina agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, ahli politik berhaluan kanan parti Stram Kurs itu membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye selepas mendapat permit kerajaan Sweden dengan kawalan polis yang ketat lapor Berita Bersatu.

  • Agensi kerajaan bawa pulang 63 jemaah Malaysia terkandas di Arab Saudi

    Agensi kerajaan bawa pulang 63 jemaah Malaysia terkandas di Arab Saudi

    SERAMAI 63 orang jemaah umrah warganegara Malaysia terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun 2022.

     “Kesemua jemaah telah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lepas,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Wisma Putra dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

    Bagaimanapun, katanya, mereka hanya berada di Madinah sehingga hari ini dan tidak pernah dibawa ke Mekah untuk menyempurnakan ibadah umrah. 

    “Susulan daripada pelanggaran undang-undang tempatan, ketua kumpulan tarekat berkenaan telah diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos 2022. 

     “Kerajaan Malaysia bersetuju untuk membantu urusan penghantaran pulang para jemaah yang sedang terkandas ini dengan usaha dan kerjasama antara agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan,” kata kenyataan itu.

    Kenyataan itu menyebut Wisma Putra dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan menyelaraskan urusan penghantaran pulang para jemaah berkenaan ke tanah air dalam masa terdekat.

     “Kementerian Luar Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan keselamatan dan kebajikan Keluarga Malaysia yang berada di luar negara sentiasa terpelihara,” katanya. – BERNAMA

  • Wisma Putra siasat dakwaan keluarga mangsa sindiket pekerjaan

    Wisma Putra siasat dakwaan keluarga mangsa sindiket pekerjaan

    WISMA Putra akan menyiasat dakwaan mengatakan kedutaan Malaysia tidak dapat dihubungi pihak hospital di Thailand untuk memaklumkan keadaan menimpa seorang rakyat negara ini, Zhan Feng.

    Memetik laporan Harian Metro, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, beliau tidak pasti bagaimana dakwaan itu boleh timbul, namun akan mendapatkan laporan untuk mengetahui apa yang berlaku.

    “Saya akan siasat apa yang berlaku. Saya sedih dan terkilan kerana perkara ini berlaku dalam keadaan kita sedang menguruskan lebih kurang 195 lagi rakyat Malaysia termasuk di Thailand…majoriti di Kemboja di mana mereka ini mangsa ‘job scam’ (penipuan pekerjaan).

    “Saya tidak pasti bagaimana laporan mengatakan pihak terbabit tidak dapat berhubung dengan kedutaan Malaysia. Mungkin peristiwa itu berlaku dalam kawasan konflik atau mungkin berlaku di sempadan. Saya tak pasti.

    “Saya akan dapatkan laporan yang jelas tentang apa yang berlaku. Hakikat selepas benda-benda begini berlaku, kaunselor akan membantu sedaya-upaya sama ada proses membawa balik (jasad) dan sebagainya,” katanya hari ini..

    Feng, 23, dilaporkan meninggal dunia pada 11 Mei lalu di Hospital Mae Sot berhampiran sempadan Thailand-Myanmar.

    Mendiang juga dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang dan diseludup ke Myawanddy, Myanmar serta dipaksa bekerja untuk sindiket itu.

    Media kelmarin melaporkan pasangan suami isteri warga Malaysia yang ke Bangkok untuk mencari anak lelaki yang hilang tidak dapat menahan kesedihan sebaik mengetahui dia sudah meninggal dunia pada 11 Mei lalu.

    Lebih menyedihkan apabila Goi Chee Kong, 50, dan isterinya yang berusia 45 tahun dari Ipoh, Perak mendapat tahu yang anak sulungnya, Feng, menjadi mangsa sindiket penipuan kerja.

    Berikutan itu, katanya, pihak hospital juga tidak dapat menghubungi kedutaan dan keluarga untuk membincangkan mengenai keadaan kesihatan dan rawatan anaknya.

  • Jangan politikkan isu panggil balik diplomat – Syed Hamid

    Jangan politikkan isu panggil balik diplomat – Syed Hamid

    Oleh ROSMALIS ANUAR

    LANGKAH Kementerian Luar (Wisma Putra) memanggil balik Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai kerana gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik semasa lawatan Perdana Menteri ke UAE akhir bulan lepas, perlu diselesaikan secara berhemah di peringkat dalaman.

    Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar menegaskan, tindakan mempolitikkan isu berkenaan oleh mana-mana pihak bukan sahaja menjejaskan imej kementerian dan kerajaan, malah reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

    “Amalan memanggil balik diplomat apabila berlaku kesilapan yang besar semasa lawatan rasmi adalah normal, negara lain juga ada yang memanggil balik duta mereka dalam tempoh 24 jam, jadi bukanlah sesuatu yang pelik kepada Malaysia.

    “Tetapi dalam kes ini, saya tahu saya tidak boleh bercakap bagi pihak Menteri Luar atau Pejabat Perdana Menteri, tetapi bagi saya, ia sepatutnya dikendalikan dengan lebih baik,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Wisma Putra dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan kegagalan menyelaraskan protokol menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai semasa lawatannya ke UAE pada 29-31 Mac lepas.

    Selain itu, Wisma Putra berkata liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk Perdana Menteri seperti amalan Prosedur Operasi Tetap (SOP) biasa juga tidak ada.

    Berdasarkan pengalamannya, Syed Hamid berkata, terdapat protokol asas dalam mengendalikan lawatan ketua kerajaan yang dilaksanakan Wisma Putra sejak sekian lama, namun beliau berpandangan, terdapat isu komunikasi sehingga menyebabkan kegagalan berkenaan.

    Berdasarkan amalan biasa, katanya, terdapat perbezaan antara pengurusan lawatan rasmi, lawatan kerja atau lawatan peribadi kerana setiap jenis lawatan akan mendapat respon berlainan daripada pihak tuan rumah.

    “Untuk lawatan peribadi pun, biasanya duta kita di negara tuan rumah, kerana kaliber mereka, mereka akan menyelaraskan protokol asas untuk perdana menteri seperti keselamatan dan sebagainya. Apa yang terjadi ini perkara asas yang tidak patut terjadi.

    “Episod begini, menteri perlu bertanggungjawab menangani dan mengurus dengan bijaksana. Ianya adalah persoalan tanggungjawab dan akauntabiliti. Banyak yang perlu ditambah baik.

    “Dahulu amalan lazim apabila ada lawatan perdana menteri, menteri akan pergi dahulu. Amalan saya, saya akan sampai sehari atau dua hari awal dan kita memastikan semua persediaan berjalan lancar. Saya tidak tahu macam mana amalan sekarang,” katanya.

    Mengenai hubungan dua hala Malaysia-UAE, Syed Hamid berkata pada peringkat awal dan jangka pendek, isu berkenaan mungkin akan memberi kesan negatif kepada hubungan kedua-dua negara.

    Bagaimanapun, oleh kerana hubungan sebenar Malaysia dan UAE adalah mesra dan mendalam, isu itu secara keseluruhannya tidak menjejaskan hubungan jangka panjang kedua-dua negara. – BERNAMA

  • Wisma Putra pantau perkembangan Nazir, Farik

    Wisma Putra pantau perkembangan Nazir, Farik

    MENTERI Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Wisma Putra memantau perkembangan dua rakyat Malaysia yang dihadapkan di Mahkamah Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), Teluk Guantanamo di Cuba.

    Memetik laporan BH, beliau memberitahau, Wisma Putra mengikuti perbicaraan membabitkan Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin sejak mereka dihadapkan ke mahkamah pada 30 Ogos lalu.

    “Kita memantau perbicaraan itu dan meneliti segala perkembangan berkaitan dua rakyat Malaysia ini,” katanya selepas menghadiri taklimat dan penyerahan cenderahati kepada petugas kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan, hari ini.

    Saifuddin mengulas perkembangan dua rakyat Malaysia yang dihadapkan ke Mahkamah Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat berhubung insiden pengeboman mati di Bali, Indonesia, kira-kira 19 tahun lalu.

    Kedua-dua suspek ditahan di kem tahanan Teluk Guantanamo sejak 2006 bersama seorang rakyat Indonesia, Encep Nurjaman yang turut dikenali sebagai Hambali.

    Menurut Pejabat Suruhanjaya Tentera AS, tiga suspek berkenaan sepatutnya dihadapkan ke mahkamah itu pada Februari lalu, namun perbicaraan terpaksa ditangguhkan akibat COVID-19.

    Sementara itu, mengenai bantuan yang diberikan kepada penduduk di kawasan Parlimen Indera Mahkota yang terkesan akibat pandemik COVID-19, beliau berkata, dari Mac 2020 hingga Ogos lalu, sejumlah RM1.85 juta dibelanjakan untuk membantu golongan berkenaan.

    Katanya, ia membabitkan bantuan bakul makanan, barang keperluan harian, pelitup muka, pelindung muka, susu bayi, lampin pakai buang bayi serta dewasa dan cecair pensanitasi tangan.