Tag: warga emas

  • Warga emas, menantu dicederakan wanita asing mengamuk depan rumah

    Warga emas, menantu dicederakan wanita asing mengamuk depan rumah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG warga emas dan menantunya cedera parah selepas terkena besi dilibas seorang wanita warga asing yang mengamuk di hadapan rumah mereka di Taman Setia Jaya, Batu Pahat, pukul 5.30 petang semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superitendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian bermula apabila wanita warga asing itu, 37, datang ke pekarangan rumah mangsa lalu membuat bising dan menjerit-jerit sambil melibas sebatang besi.

    Beliau berkata, melihat kekecohan yang berlaku kedua-dua mangsa kemudian keluar dari rumah dan menenangkan wanita asing tersebut.

    “Kedua-duaa mangsa meminta suspek yang merupakan jiran mereka supaya pulang ke rumah. Mereka turut risaukan perbuatan suspek akan mengenai dan merosakkan sebuah kereta milik keluarga mangsa yang berada depan rumah.

    “Suspek sebaliknya semakin bertindak agresif dan mula menyerang serta mengejar seorang wanita daripada keluarga mangsa kerana merakamkan perbuatan suspek menggunakan telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, dua mangsa tersebut yang merupakan suami dan bapa wanita berkenaan cuba menenangkan serta menghalang tindakan suspek namun mereka berdua terkena libasan besi.

    Menurutnya, suami wanita berkenaan yang berusia 41 tahun luka di bahagian hidung dan bibir manakala bapa wanita itu yang berusia 65 tahun bengkak mata kanan dan patah sebatang gigi.Kedua-dua mangsa katanya, mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat sementara wanita yang cuba diserang suspek tidak mengalamai sebarang kecederaaan.

    “Sejurus menerima laporan kejadian ini pihak polis pergi ke tempat kejadian dan menahan suspek serta merampas besi tersebut,” katanya.

    Beliau berkata, suspek direman selama lima hari bermula Jumaat untuk siasatan lanjut.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata, jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun atau denda atau sebat.

  • Warga emas, anak lelaki sempat selamatkan diri dalam kebakaran

    Warga emas, anak lelaki sempat selamatkan diri dalam kebakaran

    SEORANG wanita warga emas dan anak lelakinya sempat menyelamatkan diri dalam satu kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Felda Palong 7, Jempol, pada pukul 10.20 pagi tadi.

    Komander operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hazreen Mohd. Zahar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 10.31 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira setengah jam kemudian.

    “Tiga pegawai dengan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Jempol serta tiga anggota bomba bantuan diarahkan ke lokasi kejadian.

    “Kebakaran melibatkan sebuah rumah Felda separuh kekal yang terbakar 90 peratus,” katanya memetik Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, ketika kejadian terdapat dua mangsa itu iaitu seorang wanita warga emas, 64, dan anak lelakinya, 26.

    Bagaimanapun katanya, kedua-dua mereka berjaya menyelamatkan diri dengan bertindak keluar dari rumah terbabit.

    “Api dapat dikawal dalam masa 10 minit dan padam sepenuhnya setengah jam kemudian. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

  • Warga emas, budak mangsa pemerasan sebar video bogel

    Warga emas, budak mangsa pemerasan sebar video bogel

    WARGA emas berusia 64 tahun serta kanak-kanak berusia 13 tahun merupakan antara mangsa pemerasan melibatkan penyebaran gambar bogel menerusi ‘online’ di Pulau Pinang.

    Kedua-dua kes itu merupakan antara 108 laporan kes pemerasan ‘online’ penyebaran gambar bogel yang diterima Polis Pulau Pinang sepanjang tahun 2020 hingga kini melibatkan kerugian mencecah RM589,685.

    Lebih mengejutkan, terdapat satu kes tahun lalu yang membawa kepada insiden bunuh diri kerana mangsa berasa takut video bogelnya tersebar kepada umum selepas diugut sindiket berkenaan.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua mangsa kes jenayah itu membabitkan lelaki dengan seramai 39 individu ditahan manakala 15 kes berjaya diselesaikan.

    Bagaimanapun jelas beliau, kes pemerasan itu menunjukkan peningkatan ketara pada tahun lalu yang mana sebanyak 80 kes dicatatkan dengan kerugian RM404,335 berbanding tahun sebelumnya (2020) iaitu 17 kes dengan jumlah kerugian RM76,300.

    Daripada jumlah itu ujarnya, seramai 30 individu ditahan tahun lalu dengan lapan kes berjaya diselesaikan manakala lapan individu ditangkap dengan enam kes berjaya diselesaikan pada 2020.

    “Sementara itu, antara awal tahun ini hingga Februari lalu pula, terdapat 11 kes dilaporkan melibatkan kes sama membabitkan kerugian sebanyak RM109,050,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Polis ke-215 dan Soft Launching Penang 2nd Bridge PDRM 2022 Solidarity Fun Ride di perkarangan ibu pejabat polis daerah (IPD) Timur Laut, Georgetown hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, jenayah pemerasan melibatkan gambar bogel itu disifatkan amat merbahaya sekali gus brharap ibu bapa khususnya dapat memantau penggunaan telefon pintar anak-anak mereka.

    Dalam masa sama ujarnya, polis turut mengingatkan orang ramai lebih berhati-hati ketika menggunakan media sosial bagi mengelak menjadi mangsa jenayah pemerasan.

    Dalam perkembangan lain Mohd. Shuhaily berkata, polis Pulau Pinang menerima sebanyak 100 laporan samun palsu daripada keseluruhan 463 kes samun sepanjang tahun lalu.

    Jelasnya, laporan samun palsu itu termasuk daripada seorang remaja berusia 17 tahun yang mendakwa kononnya dia disamun dan dirogol yang sebenarnya telah hamil dan takut dimarahi oleh keluarganya.

    “Kita memandang serius dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang membuat laporan polis palsu di negeri ini.

    “Laporan palsu sebegini membuang masa dan tenaga pihak polis dalam menjalankan siasatan dan mereka boleh disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Cadangan pengeluaran had lesen warga emas belum dibincangkan – KPN

    Cadangan pengeluaran had lesen warga emas belum dibincangkan – KPN

    CADANGAN mengehadkan pengeluaran lesen kenderaan motor kepada warga emas belum lagi dibincangkan secara mendalam.

    Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata cadangan tersebut disuarakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias, semalam.

    Beliau berkata saranan itu merupakan cadangan peribadi Azisman di peringkat JSPT sahaja dan belum dibincangkan secara lebih terperinci.

    “JSPT sebagai jabatan Polis Diraja Malaysia yang terlibat dalam memastikan keselamatan jalan raya, sentiasa melihat kepada kaedah-kaedah meningkatkan keselamatan demi kepentingan masyarakat.

    “Sebarang pengenalan kaedah yang baharu, hanya akan dilaksana setelah menjalani proses kajian serta diputuskan implementasinya oleh kesemua pihak yang berkepentingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, Bernama melaporkan PDRM mengesyorkan kepada kerajaan agar mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas.

    Azisman dilaporkan berkata antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan adalah kerana warga emas memandu kenderaan dalam keadaan mereka tidak sihat sepenuhnya.

    Beliau juga dilaporkan berkata kumpulan warga emas seharusnya menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan surat daripada doktor terlebih dahulu untuk mengesahkan bahawa mereka sihat untuk memandu.- BERNAMA

  • Warga emas diberi layanan khas sebelum meninggal – JPJ

    Warga emas diberi layanan khas sebelum meninggal – JPJ

    WARGA emas yang meninggal dunia di kerusi ruang kaunter menunggu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Bangi di Bandar Baru Bangi dekat sini semalam, telah diberikan layanan khas tanpa perlu beratur untuk berurusan.

    Kenyataan JPJ hari ini memaklumkan suhu badan lelaki berusia 76 tahun itu semasa memasuki premis adalah normal dan status MySejahtera juga menunjukkan vaksinasi mangsa telah lengkap.

    “Lelaki itu dibawa ke kerusi ruangan menunggu pelanggan sebelum dipanggil untuk melaksanakan urus niaga JPJ dan semasa di ruangan menunggu, mangsa dikatakan secara tiba-tiba tidak sedarkan diri.

    “Sebuah ambulans bersama pasukan paramedik yang tiba dan memeriksa mangsa mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia. Mayat beliau kemudian dihantar ke Hospital Kajang untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

    Media semalam melaporkan seorang lelaki ditemui meninggal dunia di kerusi ruang menunggu kaunter JPJ cawangan Bangi dan kejadian tersebut tular di media sosial.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira 10.21 pagi semalam dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- BERNAMA

  • Polis tumpaskan kumpulan samun sasar warga emas

    Polis tumpaskan kumpulan samun sasar warga emas

    POLIS berjaya menumpaskan satu kumpulan samun yang menyasarkan warga emas di sekitar Jinjang, di sini, dengan penahanan tiga wanita termasuk dalang utamanya Sabtu lepas dan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata ketiga-tiga wanita berumur antara 23 dan 43 tahun itu disyaki terlibat dalam tiga kes kecurian di sekitar Jinjang tahun ini dengan menyasarkan warga emas yang tinggal bersendirian.

    Beliau berkata biasanya mereka akan menyamar sebagai anggota badan bukan kerajaan (NGO) kebajikan yang datang menyerahkan bantuan, dan semasa urusan penyerahan bantuan dilakukan salah seorang daripada suspek akan masuk ke bilik mangsa untuk mencuri.

    “Anggota kumpulan berkenaan ditahan susulan satu laporan polis oleh seorang wanita warga emas yang kerugian RM8,000 selepas disamun kumpulan berkenaan di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Intan Baiduri di sini pada 9 Ogos lepas.  

    “Semasa tangkapan pertama melibatkan dua anggota kumpulan berkenaan yang berusia 23 dan 43 tahun pada Sabtu lepas, polis turut merampas tujuh bungkusan makanan dan empat buah telefon bimbit. Seorang lagi anggota kumpulan itu ditahan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beh berkata kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

    Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata dalam satu siasatan berhubung laporan kejadian samun melibatkan seorang wanita berusia 20-an di Taman Greenwood, Gombak, di sini, Sabtu lepas, polis mendapati insiden itu sebenarnya tidak pernah berlaku.

    Beliau berkata siasatan pihaknya mendapati mangsa telah mereka cerita bahawa dia disamun, namun siasatan mendapati dia menipu, dan turut bertindak menikam sendiri peha kanannya.

    “Dia mengalami tekanan perasaan akibat masalah keluarga dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya. Dia akan dituduh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu,” katanya dalam kenyataan.- BERNAMA