Tag: warga emas

  • Wanita warga emas maut pacuan empat roda jatuh sungai

    Wanita warga emas maut pacuan empat roda jatuh sungai

    SEORANG wanita warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas lalu terjatuh dari jambatan ke dalam sungai di Kampung Bukit Perpat, Wakaf Tapai dekat Marang, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Aris berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 11.19 pagi dan mangsa Zaiton Omar, 64, yang tidak sedarkan diri berjaya dikeluarkan dari kenderaan jenis Toyota Hilux itu oleh orang kampung.

    “Mangsa yang memandu seorang diri telah disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Klinik Pengkalan Berangan yang sampai ke lokasi kejadian,” katanya yang memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat.

    Sementara itu, anak angkat mangsa, Wan Rafiyuddin Wan Mohd, 33, berkata sudah menjadi kebiasaan Zaiton memandu ke kampung berkenaan untuk mendapatkan bekalan pisang dan ubi untuk berniaga di gerai pisang gorengnya di Gong Beris.

    “Arwah (Zaiton) baru ambil pisang di rumah saya di Kampung Bukit Perpat…kemudian saya dapat panggilan masuk daripada nombor telefon dia dalam pukul 11.05 pagi, tapi orang lain yang cakap beritahu kereta Hilux jatuh ke dalam sungai.

    “Masa saya sampai di tempat kejadian, orang dah bawa keluar mayat mangsa. Rutin dia setiap hari beli pisang, ubi, cendawan seorang diri tanpa ditemani suaminya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Wan Rafiyuddin berkata ibu angkatnya yang berasal dari Kampung Lubuk Pandan dekat sini, mempunyai seorang anak perempuan yang bertugas di sebuah hospital di Negeri Sembilan. – BERNAMA

  • Warga emas tak mengaku rogol, amang seksual fizikal terhadap 2 cucu tiri

    Warga emas tak mengaku rogol, amang seksual fizikal terhadap 2 cucu tiri

    WARGA emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua cucu tirinya.

    Tertuduh yang berusia 67 tahun dan bekerja sebagai kontraktor membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia tujuh tahun 11 bulan di sebuah rumah di daerah ini antara jam 2 petang hingga 7 malam pada Oktober lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan disebat tidak kurang 10 sebatan.

    Berita Harian melaporkan, tertuduh turut berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

    Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan adik perempuannya yang berusia enam tahun lima bulan di lokasi, waktu dan tarikh sama.

    Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala diwakili tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Warga emas lesap RM426,450 diperdaya ‘Sarjan Ong’

    Warga emas lesap RM426,450 diperdaya ‘Sarjan Ong’

    SEORANG warga emas di Batu Pahat kerugian sebanyak RM426,450 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

    Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian bermula Ogos lalu apabila mangsa wanita, 73, menerima panggilan telefon daripada individu.

    “Individu berkenaan mengaku dan memperkenalkan dirinya sebagai ‘Sarjan Ong’ iaitu pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

    “Dalam panggilan telefon berkenaan, individu itu menyatakan bahawa mangsa mempunyai hutang dengan seorang Datuk Seri dan mangsa didapati terlibat dengan jenayah dadah,” katanya dalam kenyataan, lapor Metro Harian.

    Ismail berkata, suspek menawarkan mangsa bantuan untuk menyelesaikan kes dengan membuat pembayaran ke akaun yang diberikan oleh suspek.

    Menurutnya, mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek membuat pembayaran berjumlah RM420,450.00.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan juga denda.

  • Tengku Aizan terima Anugerah Warga Emas Wanita Negara

    Tengku Aizan terima Anugerah Warga Emas Wanita Negara

    BEKAS pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia Prof Datuk Dr Tengku Aizan Tengku Abdul Hamid hari ini menerima Anugerah Warga Emas Wanita Negara sempena sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2022.

    Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengurniakan anugerah itu kepada Tengku Aizan pada majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini.

    Tengku Aizan, 64, menerima anugerah itu atas keterlibatannya dalam bidang pendidikan serta penyelidikan sejak 2002 hingga kini dan beliau juga banyak menyumbang kepada pemerkasaan warga emas di peringkat kebangsaan serta antarabangsa dengan membantu menggubal pelbagai polisi berkaitan golongan itu.

    Dalam majlis anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) turut menerima penganugerahan sebagai pusat paling aktif menganjurkan program bermanfaat untuk warga emas, yang disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Selain itu, anugerah Warga Emas Bidang Kesenian diberikan kepada pelakon veteran Fauziah Nawi, 69, yang menceburi bidang kesenian selama 40 tahun serta pernah merangkul gelaran pelakon terbaik dalam beberapa anugerah berprestij.

    Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh pula menerima anugerah bagi Warga Emas Bidang Kesukarelaan (badan bukan kerajaan), yang antara sumbangannya adalah terlibat dalam persediaan Malaysia menuju negara tua menjelang 2030.

    Penerima anugerah lain ialah Datuk Sayed A.Rahman Sayed Mohd yang merangkul anugerah Warga Emas Kesukarelaan (individu), Roslan Yatim (Warga Emas Bidang Pendidikan) dan Mary Shanthi Dairiam yang membawa pulang anugerah Warga Emas Bidang Kemanusiaan.

    Terdahulu, Rina ketika berucap berkata penganugerahan kepada warga emas itu sebagai manifestasi penghormatan, penghargaan dan keprihatinan kepada sumbangan mereka dalam bidang-bidang tertentu.

    “Pemilihan penerima anugerah adalah berdasarkan kepada empat kriteria utama iaitu sihat, aktif dan produktif; memberi sumbangan kepada komuniti, masyarakat dan negara; pencapaian dan pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa; serta penglibatan aktif dalam pemerkasaan dan pembangunan warga emas.

    “Pemilihan dibuat melalui jawatankuasa penilaian daripada pencalonan yang diterima dari seluruh Malaysia dengan mengambil kira kriteria-kriteria yang telah ditetapkan,” tambahnya. – BERNAMA

  • Warga emas dipenjara 10 tahun raba remaja bawah umur

    Warga emas dipenjara 10 tahun raba remaja bawah umur

    TINDAKAN seorang warga emas melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun Isnin lalu membawa padah apabila terpaksa meringkuk di penjara selama 10 tahun dan dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.

    Memetik laporan Astro Awani, tertuduh Rosmi Hassan, 72, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun dengan cara meraba anggota bahagian sulit remaja itu.

    Kejadian itu berlaku di dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva di Taman Krubong Jaya, Melaka Tengah antara pukul 10 pagi hingga 3 petang pada 29 Ogos lalu.

    Bagi kesalahan itu, bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.

    Dalam prosiding sama, tertuduh yang mengalami masalah pendengaran kronik turut didakwa merogol remaja sama di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya, sekitar pukul 3.30 petang pada pertengahan bulan lalu.

    Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan itu, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan berkenaan.

    Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Izwan Mohamed Noh, tertuduh turut dikenakan denda RM1,800 atas pertuduhan sengaja mendatangkan cedera terhadap abang mangsa yang berusia 22 tahun dan dihukum di bawah Seksyen 323 yang boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau keduanya sekali.

    Mengikut fakta kes, tertuduh yang juga jiran lama mangsa dikatakan sering memberi wang, pakaian serta telefon bimbit kepada mangsa yang mendorong remaja perempuan itu kerap keluar berjumpa warga emas berkenaan.

    Abang mangsa yang mencurigai tingkah laku warga emas itu kemudian dikatakan terserempak dengan kedua-dua mereka yang menaiki sebuah Perodua Viva dan cuba mendekatinya.

    Warga emas tersebut bagaimanapun bertindak melarikan diri dan melanggar abang mangsa sebelum berjaya dicekup dengan bantuan orang awam selain mangsa turut memaklumkan ada melakukan hubungan seks dengan warga emas itu.

    Hakim Mohd Sabri dalam penghakimannya menetapkan 28 September ini sebagai sebutan semula kes bagi pertuduhan merogol.

    Kedua-dua prosiding pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Fiqri Hakim Zamri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Wanita warga emas hilang selepas ke kebun

    Wanita warga emas hilang selepas ke kebun

    SEORANG wanita warga emas dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu selepas keluar dari rumahnya di Kampung Parit Kasih Sayang di Senggarang, Batu Pahat.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima aduan daripada anak mangsa menyatakan ibunya Painah Siwan, tidak pulang ke rumah, pada Rabu lalu pada pukul 11 malam.

    Beliau berkata, ibu pengadu yang berusia 79 tahun, keluar ke kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya sejak pukul 3.30 petang.

    “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh polis, keluarga dan orang kampung tetapi gagal menemui mangsa,” katanya dalam kenyataan.

    Ismail berkata, operasi pencarian diteruskan pada hari kedua dan ketiga dengan 187 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi tetapi tetap gagal menemui mangsa.

    “Khidmat bantuan unit pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digunakan, selain bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk setempat.

    “Pada hari ini, operasi mencari mangsa akan diperluas melebihi dari tempat mangsa dilaporkan hilang,” katanya.

  • Dera anak angkat, polis tahan wanita warga emas

    Dera anak angkat, polis tahan wanita warga emas

    POLIS menahan seorang wanita warga emas tengah malam tadi kerana disyaki mendera anak angkatnya secara mengheret kanak-kanak itu dengan menarik rambutnya, di atas jalan berhadapan rumahnya di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh berkata wanita itu ditahan di rumahnya pada pukul 12.10 tengah malam tadi selepas pihaknya menerima laporan orang awam, di samping mengesan klip video berdurasi 33 saat melalui aplikasi Whatsapp berhubung kejadian itu.

    Beliau berkata video itu memaparkan suspek menarik rambut kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang memakai baju sekolah dengan tangan dan mengheretnya di atas jalan berhadapan rumahnya.

    “Suspek merupakan warga tempatan dan kanak-kanak itu adalah anak angkat berdaftar kepada suspek serta dipercayai tinggal bersamanya sejak kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Menurutnya soal siasat mendapati kejadian berlaku kerana suspek dikatakan marah terhadap kanak-kanak itu kerana dipercayai beberapa kali telah mencuri wang suspek.

    Ahmad Ridhwan berkata kanak-kanak itu telah dibawa ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan dan pegawai perubatan mengesahkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala. 

    “Suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah  Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.- BERNAMA

  • Warga emas rentung, isteri melecur kebakaran sebuah rumah

    Warga emas rentung, isteri melecur kebakaran sebuah rumah

    SEORANG warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Kesang Laut, Kampung Kesang Laut dekat Tangkak semalam.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz  berkata kejadian berlaku kira-kira 7.08 malam ketika mangsa Ab Karim Md Aroff, 93, bersama isteri Jibah Md Hussin, 87, berada di dalam rumah mereka.

    Beliau berkata 19 anggota dan aset dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu.

    “Bagaimanapun setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati kebakaran yang berlaku di sebuah rumah jenis separuh kekal itu telah dipadamkan oleh orang awam dan kebakaran memusnahkan 30 peratus daripada keseluruhan rumah,” katanya menerusi kenyataan.

    Beliau berkata isteri mangsa yang  mengalami kecederaan melecur sebanyak 30 peratus dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk mendapatkan rawatan, manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Rafiah berkata setakat ini punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.- BERNAMA

  • Terlalu miskin, warga emas ini nekad mencuri untuk dipenjarakan

    Terlalu miskin, warga emas ini nekad mencuri untuk dipenjarakan

    SEORANG lelaki warga emas di Thailand mencetuskan kegemparan di negara itu selepas dia mencuri dari sebuah farmasi bagi membolehkannya dipenjarakan.

    Ini kerana,lelaki berusia 60 tahun itu yang hanya dikenali sebagai Phichit mendakwa dia terlalu miskin untuk menyara kehidupannya.

    Oddity Central melaporkan, insiden luar biasa itu dilaporkan berlaku di sebuah farmasi di wilayah Chonburi, selatan Bangkok 29 Julai lalu.

    Phichit ditangkap kerana mencuri tiga buku sabun bernilai 17 baht oleh pekerja farmasi.

    Premis itu mempunyai amaran yang sangat jelas terhadap kegiatan mencuri dengan penjenayah berisiko didenda sehingga 30 kali ganda nilai barang yang dicuri dan juga hukuman penjara.

    Bagaimanapun, dalam kes Pichit, pekerja farmasi bersedia melepaskan warga emas itu malah seorang awam yang berada di premis berkenaan bersedia membayar denda untuknya.

    Namun lelaki itu enggan dan sebaliknya meminta pekerja itu menghubungi polis.

    Phichit menuntut dia ditangkap kerana jenayah dilakukannya, membuatkan pekerja farmasi tidak mempunyai pilihan lain melainkan menghubungi polis.

    Semasa soal siasat, Phichit mendakwa dia lebih rela menghabiskan masa di penjara kerana dia akan diberi makan secara percuma tiga kali sehari.

    Malah dia mendakwa dapat bergaul dengan orang lain tidak seperti keadaan hidup di jalanan, tanpa pekerjaan dan berisiko untuk kelaparan malah mungkin mati.

    Bagaimanapun tidak jelas bagaimana polis memilih untuk menangani kes Pichit.

    Namun kisah warga emas itu menjadi peringatan tentang keadaan teruk yang dialami ramai rakyat Thailand pada masa ini, dengan inflasi mencecah paras tertinggi sejak 2008.

  • Warga emas mengaku lakukan seks luar tabii dengan kucing

    Warga emas mengaku lakukan seks luar tabii dengan kucing

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dakwaan melakukan seks luar tabii dengan seekor kucing sehingga haiwan peliharaan itu mati pada pertengahan bulan ini.

    Tertuduh, Janting Anak Keling, 63, turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan yang berlaku di sebuah taman permainan di Skudai, Johor Bahru.

    Pengakuan bersalah warga emas itu dilakukan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

    Bagaimanapun, mahkamah difahamkan tidak menjatuhkan hukuman walaupun tertuduh telah mengaku bersalah bagi membolehkan penilaian dibuat terhadap dokumen kes terlebih dahulu.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang tidak bekerja itu telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii iaitu dengan seekor kucing menyebabkan haiwan tersebut mati.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu disebuah taman permainan kawasan perumahan di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai pada pukul 4.30 pagi, 16 April lalu.

    Sehubungan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 377 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan denda atau sebatan.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memberitahu, dia memohon agar wang jaminan dikurangkan kerana tidak bekerja dan hanya berada di negeri ini untuk melawat anaknya yang menetap di kawasan berkenaan.

    Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan tarikh 25 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya.

    Terdahulu, tertuduh ditahan selepas satu laporan polis dibuat keatasnya oleh seorang penduduk kawasan perumahan itu yang menjadi saksi kepada kejadian tersebut.