Tag: wang ihsan

  • Jenama ‘wang ihsan’ kembali semula ke Terengganu?

    Jenama ‘wang ihsan’ kembali semula ke Terengganu?

    guane

    TINDAKAN Kerajaan Perpaduan untuk menyekat Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) membabitkan royalti petroleum ke Terengganu dianggap sebagai tidak wajar.

    Ini kerana, tindakan tersebut dikatakan bukan sahaja bakal menjejaskan setiap perancangan pembangunan di negeri ini, tetapi juga melibatkan hal-hal berhubung kepentingan rakyat.

    Justeru, banyak pihak meminta agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terlalu berpolitik, sebaliknya mengkaji semula perkara tersebut demi kepentingan rakyat.

    Walaupun Anwar ada memberi jaminan bahawa peruntukan akan disalurkan terus kepada rakyat menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), namun ia tidak ‘seindah’ diungkapkan.

    Malah, ia dikatakan seolah-olah seperti penjelmaan dendam daripada Kerajaan Persekutuan terhadap Kerajaan negeri di bawah pemerintahan pembangkang.

    Ini terbukti apabila sejak musibah banjir melanda di negeri ini, isu-isu melibatkan bantuan kepada mangsa banjir disalurkan menerusi JPP, bukannya kerajaan negeri.

    Maka itu, penganalisis dan pemerhati politik di negeri ini melihat ia seakan menyerlahkan lagi sikap dendam kerajaan pusat terhadap Terengganu.

    Bagi negeri Terengganu, sebenarnya rakyat pernah berhadapan dengan situasi seperti ini ketika PAS memerintah pada tahun 1999 lalu di mana wang royalti minyak di salur menerusi JPP dengan nama ‘Wang Ihsan’.

    Di sana sini orang bercakap mengenai wang ihsan, bantuan kepada peniaga kecil, bantuan hari raya sehingga bantuan persekolahan dinamakan wang ihsan.

    Ada pihak menyifatkan tindakan kerajaan Pusat di bawah pemerintahan BN ketika itu yang menukar status royalti petroleum kepada wang ihsan dianggap bertentangan dengan semangat Federalisme.

    Jadi, apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said baru-baru ini menyatakan Terengganu dan Kelantan tidak berhak menerima royalti petroleum bersandarkan Akta Laut Wilayah 2012, ia seolah-olah mengulangi skrip lama.

    Antara lain perjanjian itu menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

    pelantikan
    Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

    Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengharapkan agar DKKP yang diterima daripada Kerajaan Pusat sebelum ini dapat diteruskan.

    Sehubungan itu beliau akan berbincang semula dengan kerajaan pusat mengenai isu tersebut sama ada melibatkan peruntukan pembayaran DKKP atau pun wang royalti petroleum.

    Persoalannya, apakah penjenamaan wang ihsan ini akan ‘dipopularkan’ semula ke Terengganu ketika pemerintahan Kerajaan Perpaduan?

    Dan apakah pemimpin politik mewakili BN dan PH akan ‘gegar’ dan riuh rendah semula mewarnai kehidupan di pejabat JPP?

    Apa yang rakyat Terengganu harapkan ialah carilah pendekatan terbaik bagi menyelesaikan setiap isu tersebut demi kesejahteraan rakyat yang kini semakin terbeban dengan kehidupan.

    Cukup-cukuplah bermain politik ‘murahan’ dan lapuk kerana rakyat kini sudah semakin muak.

  • Jangan sentuh ‘wang ihsan’ kami, tegas Ahli Parlimen Kelantan, Terengganu

    Jangan sentuh ‘wang ihsan’ kami, tegas Ahli Parlimen Kelantan, Terengganu

    AHLI-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari Kelantan dan Terengganu hari ini bersuara terhadap rancangan kerajaan melalui Belanjawan 2023 untuk mengambil sebahagian daripada “wang ihsan” dari negeri itu bagi membiayai program pembasmian kemiskinan.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, ia dibayar oleh Putrajaya kepada dua kerajaan negeri terbabit untuk hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai mereka.

    Menteri kewangan sebelum ini, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz menjelaskan, kedua-dua negeri tidak dibayar royalti minyak kerana pengeluarannya dijalankan di luar perairan negeri.

    Pada pembentangan Belanjawan 2023 bulan lalu, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memperuntukkan jumlah yang tidak dinyatakan daripada “wang ihsan” kedua-dua negeri untuk membantu golongan miskin.

    Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) pada sidang media di Parlimen hari ini mendakwa, langkah itu bercanggah dengan pendirian beberapa anggota kerajaan berhubung pembayaran royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu.

    Beliau mendakwa manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) 2018 berjanji untuk membayar royalti tahunan 20% kepada negeri pengeluar minyak. Perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian berkata royalti adalah 20% daripada keuntungan minyak dan gas, bukan hasil.

    Beliau juga mendakwa jawatankuasa kewangan negara bersetuju pada Jun 2018 untuk menghentikan pembayaran wang ihsan, sebaliknya menyalurkan royalti minyak terus kepada Terengganu dan Kelantan.

    Tegas Takiyuddin, kini kerajaan langsung tidak mahu memberikan tuntutan 5% daripada hasil minyak dan gas oleh dua negeri itu.

    “Kami menuntut kerajaan pusat menjelaskan sendiri mengenai perkara itu,” kata setiausaha agung Pas itu.

    Beliau turut disertai Ahli Parlimen PN lain dari Terengganu dan Kelantan pada sidang media itu. Pada PRU15, PN menyapu bersih semua 22 kerusi Parlimen di dua negeri Pantai Timur itu.

    Minggu lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata Akta Laut Wilayah menetapkan kerajaan negeri hanya berhak mendapat royalti minyak jika ia ditemui dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai mereka.

    Sebelum ini, pemimpin dari Kelantan dan Terengganu pimpinan PAS berkali-kali menggesa Putrajaya membayar royalti minyak terus kepada negeri, dengan menegaskan mereka berhak menerimanya bawah perjanjian dengan Petronas yang ditandatangani pada 1975.

    Pada 2021, bekas pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah, juga berkata tiada perkara seperti pembayaran “wang ihsan” kerana perjanjian adalah untuk Petronas membayar negeri-negeri 5% dalam pembayaran tunai sebagai pertukaran untuk mereka meletak hak hidrokarbon atau hak minyak dan gas dalam syarikat minyak.