Tag: Wan Azizah Wan Ismail

  • PRU-15: PKR akan calonkan Wan Azizah di Bandar Tun Razak

    PRU-15: PKR akan calonkan Wan Azizah di Bandar Tun Razak

    PKR dilaporkan bakal menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengumuman mengenai pencalonan bekas timbalan perdana menteri itu di kerusi tersebut dijangka dibuat pada Jumaat ini, lapor Malaysiakini.

    PKR memenangi kerusi Bandar Tun Razak sejak 2008 menerusi Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum diganti oleh Datuk Kamaruddin Jaffar pada 2018.

    Pada 2018, Kamaruddin memenangi memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti hampir 20,000 namun meninggalkan parti tersebut bersama kumpulan yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    “PKR sudah memenangi kerusi Bandar Tun Razak sejak 2008 tapi dua ahli Parlimen terdahulu akhirnya meninggalkan parti.

    “Kami mengakui keyakinan pengundi kepada PKR (di kawasan berkenaan) tidak begitu stabil, justeru kami perlu meletakkan seorang pemimpin utama untuk mempertahankannya,” lapor Malaysiakini yang memetik sumber.

    Wan Azizah yang juga bekas Presiden PKR sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Pandan dan Permatang Pauh.

    Beliau meninggalkan Parlimen Pandan bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli bertanding di kerusi tersebut.

  • Jika Dr M salah, Wan Azizah dan pemimpin PH pun sama – Pejuang

    Jika Dr M salah, Wan Azizah dan pemimpin PH pun sama – Pejuang

    PEJUANG menyelar Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad atas kegagalan Pakatan Harapan (PH) melakukan reformasi sepenuhnya ketika berkuasa, dan menganggap tuduhan terhadap bekas perdana menteri itu sebagai tidak bertanggungjawab.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Husamudin berkata, sepajang 22 bulan pakatan itu berkuasa ia berjaya menunaikan 53 janji dalam manifesto.

    Menurutnya, pada Disember 2019, menteri kewangan ketika itu Lim Guan Eng berkata, sebanyak 60 peratus janji PH dalam pilihan raya sudah ditunaikan.

    Baki janji itu katanya, terpaksa ditunda kerana negara berdepan cabaran fiskal yang lemah dan cabaran ekonomi. Masalah ini turut diakui sendiri presiden PKR itu.

    “Jangan lupa apabila ia berkaitan dengan urusan kerajaan, ia adalah tanggungjawab bersama.

    “Andai Dr Mahathir dipersalahkan, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pimpinan PH lain juga perlu dipersalahkan,” katanya dalam kenyataan merujuk kepada bekas timbalan perdana menteri itu.

    Malam tadi, Anwar berkata, kerajaan PH tidak dapat melaksanakan reformasi sepenuhnya kerana ia diketuai oleh pemimpin yang “bukan reformis”.

    Katanya, Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri ketujuh, kembali kepada politik perkauman yang bertentangan agenda PH yang berbilang kaum.

    Ulya berkata, Anwar hanya mahu melepaskan diri daripada tanggungjawab dan tidak berani berdepan kebenaran serta realiti.

  • Tak seperti Najib, Anwar tak curi duit rakyat – Wan Azizah

    Tak seperti Najib, Anwar tak curi duit rakyat – Wan Azizah

    ISTERI Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membangkitkan perbezaan antara kes mahkamah yang sebelum ini dihadapi suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Memetik laporan Malaysiakini, Wan Azizah berkata, perbezaan asas adalah kes Najib melibatkan wang rakyat dan ada dokumen untuk membuktikan penyelewengan yang berlaku.

    “Ini melibatkan wang rakyat dan negara kini menanggung hutang. Ini belum termasuk kes 1MDB, yang juga (berlaku) di Amerika Syarikat. Juga ada rakaman audio Najib tetapi tiada (rakaman audio) Anwar,” katanya hari ini.

    Katanya, ketika Anwar dijatuhkan hukuman, mahkamah tidak mengambil kira jumlah hari beliau di dalam tahanan.

    Bendahari PKR William Leong pula berkata, Najib tidak menjalani hukuman penjara sehinggalah rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan di Mahkamah Persekutuan gagal.

    “Anwar dalam penjara sejak hari pertama, sebelum kes mahkamah bermula,” katanya lagi.

    Wan Azizah pula sempat mencelah: Malah ada pengawal peribadi. Itu perbezaannya.”

    Lapan belas hari selepas Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Anwar daripada jawatan timbalan perdana menteri pada September 1998, presiden PKR itu ditahan di kediamannya.

    Beliau kemudian didakwa dan disabitkan bersalah. Namun Anwar menegaskan pertuduhan liwat terhadapnya direka oleh Mahathir dan sekutunya.

    Mengimbas kembali episod itu, Wan Azizah berkata, ketua polis negara pada masa itu, Rahim Noor telah memukul suaminya selepas ditahan.

    Bagi mengelakkan Anwar dibawa ke mahkamah dalam keadaan cedera, katanya lagi, pihak berkuasa menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan mana-mana individu ditahan tanpa bicara.

    “Selepas direman, anda perlu dibawa ke mahkamah, Tapi sebab matanya lebam, dia tak dibawa ke mahkamah. Jadi mereka tukar kepada ISA,” katanya.

    Anwar dihukum penjara buat kali kedua atas pertuduhan yang sama ketika Najib mentadbir negara. Beliau juga mendakwa pertuduhan itu sebagai rekaan.

    Anwar diberikan pengampunan diraja selepas PH menumbangkan Najib dan BN dalam PRU 2018.

    Kini penyokong Najib pula menggesa beliau diberi pengampunan yang sama.

    Ditanya berkenaan soal itu, Wan Azizah berkata ia di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

    “Saya tak ingin sentuh perkara ini. Tapi dia ada kes lain. Dia telah dihukum penjara 12 tahun (dalam kes SRC) tapi kes lain masih berjalan,” katanya lagi.

  • ‘Musuh dalam selimut’ punca Wan Azizah menangis

    ‘Musuh dalam selimut’ punca Wan Azizah menangis

    PENGERUSI Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada pagi ini menyampaikan ucapan pada Kongres Wanita parti itu dengan tangisan air mata.

    Memetik laporan Malaysiakini, beliau sedih apabila menyentuh konflik dalaman parti yang melibatkan musuh dalam selimut.

    “Kasih saya pada parti tuhan saja yang mengetahui, mesti ada menang dan kalah (dalam) mana-mana pertandingan itu biasa.

    “Saya biasa kalah dalam hidup tapi tak bermaksud saya memusuhi,” katanya yang kelihatan amat sedih dan kecewa dengan konflik dalaman parti itu.

    Meskipun tidak menyebut secara terperinci insiden yang dimaksudkan itu, tetapi kenyataannya itu dibuat selepas terdapat pertikaian berhubung keputusan pemilihan parti baru-baru ini.

    “Kita bukan bermusuh, kita parti yang sama, kalau nak tinggalkan (parti), tinggallah.. tak apa. Tapi jangan jadi musuh dalam selimut, api dalam sekam.

    “Jangan hancurkan apa yang kita sama-sama bina,” katanya.

    Berlaku perubahan dalam keputusan pemilihan PKR baru-baru ini selepas audit forensik dijalankan berikutan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan ada godam untuk mempengaruhi keputusan pemilihan oleh “pihak tidak bertanggungjawab”.

    Keputusan rasmi yang diumumkan oleh JPP PKR pada 4 Julai lalu telah membangkitkan rasa tidak puas hati sesetengah calon-calon, kerana perbezaan jumlah undi yang tipis antara pemenang dan pemenang sebelumnya.

    Salah satunya merupakan jawatan Ketua Wanita PKR yang sebelum ini dimenangi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail tetapi keputusan rasmi menunjukkan dia tewas di tangan Senator Fadhlina Sidek.

    Sehari selepas itu, Rodziah menghantar permintaan rasmi kepada JPP PKR untuk mendapatkan penjelasan tentang bagaimana keputusan itu telah dibatalkan.

    Wan Azizah dalam ucapannya turut mengingatkan bahawa sama ada menang atau kalah, seseorang itu perlu mengekalkan kesopanan dan adab kerana ia merupakan adat dalam sesuatu pertandingan.

    “Kalah atau menang kita kena ingt adab, adab seorg kawan dan seorg lawan. adab dan akhlak kesopanan Melayu, kita tak boleh dijual beli

    “Kita bukan saja perlu berbudi pada alam tapi pada makhluk, kepada sama-sama kawan…Ini adalah sebahagian daripada kita sebagai seorang insan,” katanya lagi.