Tag: vape

  • Ramai remaja, gadis beli vape tanpa rasa takut

    LEBIH ramai remaja didakwa kini bebas memasuki premis menjual vape dan membeli cecair berasaskan nikotin untuk gajet vape masing-masing.

    Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) , N. V. Subbarow berkata, tinjauan pihaknya dua hari lalu mendapati sebahagian remaja berkenaan kelihatan amat muda malah ada yang mengaku baru berumur 14 tahun atau tingkatan dua.

    Menurutnya, remaja itu mengakui sangat takut untuk masuk ke kedai vape untuk membeli nikotin, namun situasi mula berubah selepas 1 April lalu, yang mana mereka bebas memasuki mana-mana kedai vape.

    Katanya lagi, ‘vaper’ seperti pelajar juga mengakui mereka mendapatkan wang untuk membeli cecair untuk gajet vape mereka daripada rakan dan ahli keluarga.

    “Terdapat banyak kedai vape di Pulau Pinang dan golongan remaja dibenarkan masuk secara sah untuk membeli racun tetapi tidak meracuni produk nikotin.

    “Ada yang tidak berpuas hati dengan duti eksais tetapi itu tidak menghalang mereka untuk membeli jus cecair nikotin.

    “Malah dua buah kedai vape mengakui tidak terkesan dengan duti eksais sebaliknya meningkatkan jualan dan memaklumkan lebih ramai gadis muda turut menjadi pelanggan baharu mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Subbarow berkata, pihaknya bimbang trend itu akan membawa kepada keadaan tidak sihat kepada generasi muda akan datang.

    Beliau menegaskan, vape dan e-rokok itu mampu menyebabkan ketagihan nikotin dalam kalangan generasi baharu dan lebih membimbangkan, banyak peranti vape juga boleh digunakan untuk menyedut jenis dadah lain yang diharamkan.

    “CAP percaya pendidikan untuk kedua-dua remaja dan ibu bapa mereka berhubung penggunaan peranti vape ini adalah amat penting.

    “Remaja selalunya memperoleh sebahagian besar pengetahuan mereka tentang vape dan e-rokok daripada media sosial,” katanya.

    Sementara itu, Subbarow menggesa Kementerian Kesiahatan (KKM) mengambil langkah segera untuk membendung remaja daripada dengan mudah dan sewenang-wenangnya membeli nikotin tanpa sebarang masalah.

    “Jika tidak, kita mungkin perlu menubuhkan lebih banyak pusat pemulihan dan ketagihan dadah di negara ini pada masa depan,” katanya.

  • Vape: Kerajaan buat satu lagi keputusan mengecewakan

    Vape: Kerajaan buat satu lagi keputusan mengecewakan

    Sebelum ini Tok Chey ada mengulas mengenai keputusan kerajaan yang membenarkan penjualan mercun dan bunga api sempena musim perayaan.

    Dalam artikel itu Tok Chey pelik dengan keputusan kerajaan PH-BN apabila mercun dan bunga api yang bukan keperluan rakyat diluluskan penjualannya sedangkan banyak isu lain yang sering menjadi rungutan rakyat tidak diendahkan.

    Dan dalam masa terdekat ini sekali lagi kerajaan membuat satu keputusan besar yang amat mengecewakan apabila mengecualikan produk cecair atau gel nikotin daripada Akta Racun 1952.

    Kerajaan juga dalam masa sama mengenakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik pada kadar 40 sen setiap ml berkuat kuasa 1 April lalu.

    Dengan bahasa mudahnya, kerajaan telah menghalalkan penjualan vape walaupun keputusan itu telah dibantah banyak pihak antaranya Persatuan Farmasi Malaysia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Pemuda UMNO, Pemuda Pas dan banyak pihak lagi.

    Tok Chey sendiri hairan bagaimana kerajaan boleh mengutamakan keuntungan daripada cukai vape berbanding kesan buruk kesihatan akibat tabiat menghisap vape.

    Paling dibimbangi, alat elektronik itu amat mudah diperolehi dan sasarannya ialah golongan muda akan ketagih dengan vape.

    Dalam keadaan vape belum ‘dihalalkan’ pun, Tok Chey sudah melihat ramai anak-anak muda dan pelajar sekolah menjadikan vape sebagai teman seharian yang dibawa ke sana ke mari.

    Dalam laporan media, terdapat juga perisa-perisa vape yang menggunakan dadah dan boleh membuatkan penghisap menjadi khayal.

    Bayangkan apa akan jadi apabila rokok elektronik yang memudaratkan itu dibenarkan penggunaannya atas alasan kerajaan mahu memungut cukai yang lebih.

    Walaupun pihak industri mengatakan separuh daripada hasil cukai akan diperuntukkan untuk program advokasi kempen kesihatan, ia sebenarnya adalah satu alasan kelakar.

    Ini kerana daripada logik akal, adalah lebih baik haramkan vape daripada sibuk mahu adakan kempen untuk mengajak orang ramai menjauhi vape.

    Sejarah telah membuktikan bahawa, sehebat mana pun kempen hingga diletakkan gambar ‘kaki buruk’ di kotak rokok, ia tidak akan mampu mengubah ketagihan perokok.

    Golongan perokok tidak akan peduli saranan dan nasihat sekeliling sekiranya mereka sudah menjadikan rokok sebagai benda wajib dalam kehidupan.

    Begitu juga dengan vape, apabila ia sudah menjadi tabiat, buatlah apa saja ia tidak akan mampu menghalang mereka daripada tabiat berkenaan.

    Agama Islam juga melarang umatnya melakukan sebarang tindakan yang boleh memudaratkan diri sendiri, bahkan Majlis Fatwa Kebangsaan sudah membuat keputusan mengenai rokok.

    Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-37 telah mengharam rokok pada tahun 1995. Vape dan rokok elektronik pula telah diharamkan pada 2015.

    Tok Chey ada rakan-rakan perokok dan vaping serta tahu bagaimana mereka menghabiskan wang untuk tabiat tidak berfaedah itu.

    Wang yang dibelanjakan pula adalah untuk memudaratkan kesihatan sendiri dan secara automatiknya menjadikan golongan penjual dan pengimport produk vape kaya-raya.

    Sepatutnya wang yang dihabiskan itu boleh dimanfaatkan kepada perkara lain yang berfaedah ataupun meningkatkan simpanan kecemasan.

    Banyak lagi kesan jangka panjang yang kita akan lihat selepas ini apabila kerajaan tetap dengan keputusan mereka mahu halalkan vape.

    Tidak mustahil, hospital dan klinik kerajaan akan bertambah jumlah ‘pengunjung’ disebabkan kesan sampingan vaping dan rokok.

    Ia seterusnya akan menyebabkan sistem kesihatan negara pada kapasiti maksimum hasil daripada tindakan kerajaan sendiri yang lebih mengutamakan cukai berbanding kesihatan rakyat.

  • Semak semula cukai cecair vape, kata Pemuda Pas Kelantan

    Semak semula cukai cecair vape, kata Pemuda Pas Kelantan

    KERAJAAN digesa menyemak semula pewartaan cukai cecair vape dengan kandungan nikotin yang disifatkan sebagai sejarah ‘hitam’ buat negara.

    Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, pihaknya khuatir langkah itu akan memberi kesan langsung kepada anak-anak muda terutama melibatkan soal kesihatan dan moral untuk tempoh jangka panjang.

    “Pindaan warta ini membolehkan penjualan cecair vape yang mengandungi nikotin boleh dijual tanpa sekatan.

    “Justeru, atas apa jua kepentingan segera, kerajaan dipohon untuk membuat semakan semula terhadap pengecualian nikotin yang telah diwartakan atau sekurang-kurang ia boleh dibincangkan dalam sidang terbuka seperti Parlimen untuk menilai kesan terhadap rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, menurut laporan Sinar Harian.

    Mohd Kamal mengulas lanjut menjelaskan, walaupun bantahan secara rasmi telah dibuat oleh Persatuan Farmasi Malaysia pada 28 Mac lalu, namun pindaan menggunakan kuasa Menteri Kesihatan tanpa perlu melalui pembentangan di Parlimen dengan alasan cukai disifatkan tidak ‘masuk akal’.

    Menurutnya, pada masa sama kelulusan itu merencatkan usaha baik kerajaan terdahulu mengekang jumlah perokok melalui kempen Generasi Penamat Merokok (GEG).

    “Kerajaan Anwar-Zahid hari ini seolah merencatkan usaha baik dengan kelulusan berpihak kepada kepentingan cukai.

    “Sejarah hitam buat negara dan solidariti buat ahli farmasi dan petugas kesihatan,” tegasnya.

    Cukai ke atas penjualan cecair vape pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) bagi rokok elektronik yang mempunyai kandungan nikotin mula dikuatkuasakan semalam.

    Pelaksanaan cukai tersebut diumumkan menerusi satu notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

  • JKN Selangor rampas cecair vape bernilai RM1.65 juta

    JKN Selangor rampas cecair vape bernilai RM1.65 juta

    JABATAN Kesihatan Negeri Selangor melalui Cawangan Penguatkuasaan Bahagian Perkhidmatan Farmasi (CPF JKNS) membuka kertas siasatan ke atas 32 kes cecair vape yang disyaki mengandungi racun nikotin dengan anggaran nilai rampasan RM1.65 juta.

    Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, rampasan dibuat CPF JKNS sepanjang tempoh dari 2019 sehingga Julai tahun ini.

    “Dari bilangan kes rampasan tersebut, sejumlah 31 kes berjaya didakwa di mahkamah dengan jumlah denda yang dikutip RM108,400,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Dr Sha’ari berkata, CPF JKNS sentiasa menjalankan penguatkuasaan berterusan ke atas aduan orang ramai berkaitan penjualan cecair vape mengandungi racun nikotin.

    Menurutnya, cecair vape yang mengandungi racun nikotin ini dikawal mengikut Jadual Pertama Akta Racun 1952

    Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai agar menyalurkan aduan berkaitan penjualan cecair vape bernikotin kepada Program Perkhidmatan Farmasi.

    “Aduan dibuat menerusi laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam di alamat http://moh.spab.gov.my.

    “Selain itu, aduan boleh dikemukakan kepada mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya diambil,” tambahnya.

  • Polis marin rampas peralatan vape lebih RM500,000

    Polis marin rampas peralatan vape lebih RM500,000

    PELBAGAI peralatan rokok elektronik e-rokok atau vape yang dianggarkan bernilai RM519,300 dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan semalam.

    Rampasan itu dilakukan pada pukul 5 petang di sebuah kedai kosong di Kampung Simpangan, dipercayai dijadikan lokasi transit sebelum diseludup ke Thailand, lapor Harian Metro.

    Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said, dalam penugasan Op Landai/Op Kontraban, anggotanya ada menerima aduan sebelum menjalankan pemantauan di lokasi tersebut.

    Katanya, apabila sampai di premis tersebut, didapati pintunya tidak berkunci dan tiada penghuni sebelum anggota terbabit masuk bagi menjalankan pemeriksaan.

    “Hasil pemeriksaan menemui sejumlah pod vape, katrij serta cecair untuk kegunaan rokok elektronik itu dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM519,300,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Norzaid, pihaknya menunggu hampir satu jam, namun tiada sesiapa tampil untuk mengaku sebagai pemilik peralatan vape yang dirampas itu.

    Beliau berkata, kesemua barang rampasan telah dibawa balik ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

    Ujarnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952.

    “Kami percaya semua barangan rampasan ini akan diseludup ke Thailand dan premis itu dijadikan sebagai stor simpanan sementara atau transit,” jelasnya lagi.