Tag: vaksin covid-19

  • Hampir 91 peratus populasi dewasa sudah divaksin

    Hampir 91 peratus populasi dewasa sudah divaksin

    MALAYSIA sudah mencatatkan 21,220,121 individu atau 90.6 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi setakat ini.

    Data terbaharu COVIDNOW memberitahu, seramai 995,383 menerima satu dos suntikan manakala 1,194,096 orang tiada vaksinasi.

    Berdasarkan kemajuan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Lembah Klang mencatat jumlah tertinggi pemberian dos kepada golongan dewasa iaitu 112.3 peratus, Labuan (99.2 peratus), Negeri Sembilan (99.2 peratus), Perlis (94.3 peratus) dan Pulau Pinang (91.2 peratus).

    Sementara paling rendah adalah di Sabah dan Kelantan apabila kedua-duanya merekodkan vaksinasi di bawah 80 peratus.

    Pemberian dos kepada golongan dewasa di Kelantan adalah sebanyak 74.4 peratus manakala Sabah sebanyak 66 peratus.

    Di Sabah, 1,820,807 individu atau 66 peratus populasi telah lengkap dos suntikan dan 211,453 orang atau 7.7 peratus menunggu untuk menerima suntikan kedua.

    Seramai 1,103,437 individu atau 40 peratus populasi dewasa tiada vaksinasi.

    Di Kelantan pula, hanya 919,258 individu atau 74.4 peratus populasi dewasa telah lengkap dos suntikan dan 58,692 (4.7 peratus) lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

    Individu yang tiada vaksinasi di negeri itu adalah 324,249 orang atau 26.2 peratus.

    Pada perkembangan sama, PICK-Remaja menunjukkan 18,477 orang dari usia 12 hingga 17 tahun telah lengkap vaksinasi dan 139,669 lagi menunggu suntikan dos kedua.

    Seramai 61,336 individu tiada vaksinasi.

    PICK-Remaja diunjurkan 80 peratus lengkap divaksinasi dalam tempoh 28 hari iaitu pada 10 November depan.

  • 59.2 peratus populasi M’sia lengkap dua dos vaksin Covid-19

    59.2 peratus populasi M’sia lengkap dua dos vaksin Covid-19

    SEBANYAK 19,336,889 orang atau 59.2 peratus daripada populasi Malaysia telah lengkap dos kedua atau dos tunggal vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Mengikut data dari portal COVIDNOW, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, sebanyak 22,599,346 orang atau 69.2 peratus dari populasi negara telah menerima sekurang-kurangnya satu daripada dua dos vaksin atau dos tunggal vaksin Covid-19.

    Katanya, bagi populasi dewasa pula, sebanyak 82.5 peratus telah lengkap dos kedua atau dos tunggal vaksin manakala 93.6 peratus lagi menerima satu dos atau dos tunggal vaksin Covid-19.

    “Selain itu, sebanyak 22.1 peratus remaja telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 0.8 peratus lagi lengkap divaksin.

    “Secara keseluruhan, sebanyak 41,847,256 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di negara ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb sehingga semalam,” katanya, hari ini.

    Dalam pada itu, KKM berkata, untuk vaksinasi harian sebanyak 273,373 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, daripada jumlah itu, sebanyak 116,881 dos pertama diberikan manakala 156,492 lagi melibatkan dos kedua.

  • China salur 1.2 bilion dos vaksin kepada dunia

    China salur 1.2 bilion dos vaksin kepada dunia

    CHINA sudah menyalurkan 1.2 bilion dos vaksin COVID-19 serta vaksin berbentuk cecair kepada lebih 100 negara dan pertubuhan antarabangsa, menurut Kementerian Luar.

    Jurucakapnya, Zhao Lijian berkata setakat ini, China telah menggerakkan bantuan peralatan perubatan kepada 150 negara dan 14 organisasi antarabangsa.

    Beliau berkata demikian dalam satu sidang media berhubung penglibatan China dalam usaha memerangi pandemik di peringkat dunia, di sini, pada Khamis.

    Terdahulu, Presiden Xi Jinping semasa sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), mengulangi komitmen dan iltizam China untuk memastikan vaksin COVID-19 dimanfaatkan untuk kebaikan global.

    Seperti diumumkan beliau, China komited untuk membekalkan dua bilion dos kepada dunia sepanjang tahun ini.

    Selain menyumbangkan US$100 juta (RM418 juta) kepada Pelan Peruntukan Vaksin COVID-19 (COVAX), negara Tembok Besar itu berjanji akan berkongsi 100 juta dos lagi kepada negara-negara membangun tahun ini.

    “Kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kesaksamaan dalam akses dan kemampuan memiliki vaksin di negara membangun,” kata Zhao.

    Beliau turut merayu kepada pihak-pihak lain supaya terlibat dalam membantu negara membangun menerusi pendekatan praktikal.- BERNAMA

  • Lebih setengah juta remaja terima dos pertama vaksin Covid-19

    Lebih setengah juta remaja terima dos pertama vaksin Covid-19

    LEBIH setengah juta remaja di negara ini sudah menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama vaksin Covid-19 mereka setakat semalam.

    Menerusi ciapannya, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, remaja yang berusia antara 12 hingga 17 tahun menerima suntikan itu melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang bermula Isnin lalu.

    Menurutnya, Sabah mendahului jumlah penerima apabila merekodkan lebih separuh daripada remaja didaftarkan menerima suntikan dos pertama.

    “Setakat semalam, lebih setengah sejuta remaja berusia 12 hingga 17 tahun menerima dos pertama mereka di bawah PICK Remaja.

    “Sabah mendahului dengan 56 peratus daripada remaja yang didaftarkan di sekolah menerima sekurang-kurangnya dos pertama mereka,” katanya hari ini.

    Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi ciapannya yang diciap semula Khairy memberitahu, sebanyak 156 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka di seluruh negara bagi menjalankan program vaksinasi remaja secara ‘walk in’ bermula hari ini.

    Ujarnya, terdapat tiga kaedah digunakan untuk vaksinasi remaja iaitu janji temu mellaui MySejahtera, vaksinasi berjadual dan dan jumpa terus di 156 PPV yang dibuka.

    Sebelum ini, Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dilaporkan berkata, pelaksanaan kaedah ‘walk-in’ berjadual itu akan dilakukan mengikut lokasi sekolah berhampiran dengan PPV dikenal pasti.

    Katanya, pelaksanaannya mengikut giliran serta tarikh dan masa yang ditetapkan.

  • China penyumbang terbesar vaksin Covid-19

    China penyumbang terbesar vaksin Covid-19

    CHINA muncul negara paling banyak menyumbangkan vaksin COVID-19, menurut laporan Associated Press (AP) pada Ahad.

    Menurut laporan itu lagi China dilihat senantiasa komited dalam usahanya untuk membantu negara-negara membangun dan kurang membangun.

    Ahli epidemiologi dari Nigeria, Christian Happi berkata sumbangan vaksin dari beberapa negara maju yang lain tidak mencukupi dan terjamin.

    “Mereka bukan sahaja memperoleh kebanyakan vaksin di dunia, malah sedang meneruskan memberikan suntikan vaksin penggalak kepada warganya,” katanya.

    Wakil Kanan Kesatuan Eropah (​EU) bagi Dasar Luar dan Keselamatan, Jose Borrell menyifatkan usaha Kesatuan Eropah (EU) untuk menyumbang vaksin dilihat kurang berkesan.

    Negara membangun seperti Venezuela, Haiti dan Syria masih menghadapi kekurangan bekalan vaksin.

    Pengkaji akses perubatan dari Universiti Northeastern Amerika Syarikat iaitu Profesor Brook Baker pula menganggap masih terdapat ketidakadilan dalam agihan vaksin melalui Pelan Peruntukan Vaksin COVID-19 Global (COVAX).

    “Lebih 90 buah negara membangun masih tidak mendapat bekalan vaksin sebaliknya negara maju cuba mendapatkan kepentingan geopolitik melalui perkongsian bilateral vaksin,” katanya.- BERNAMA

  • Lebih 25 juta dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam

    Lebih 25 juta dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam

    SEBANYAK 25,008,230 dos vaksin COVID-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

    Menerusi perkongsian infografik di Twitternya, beliau memaklumkan jumlah yang terima dos pertama ialah 15,959,596 orang manakala 9,048,634 orang terima dos kedua.

    “Mengikut peratusan, 68.2 peratus daripada populasi dewasa negara telah mendapat dos pertama, manakala 38.7 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 mereka,” katanya.

    Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan sebanyak 465,793 dos diberikan semalam dengan 187,495 adalah dos pertama manakala 278,298 adalah dos kedua.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.- BERNAMA

  • Penerima lengkap vaksin Covid-19 nikmati kelonggaran SOP hari ini

    Penerima lengkap vaksin Covid-19 nikmati kelonggaran SOP hari ini

    INDIVIDU yang lengkap divaksin di negeri atau wilayah dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya mula menikmati beberapa kelonggaran sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bermula hari ini.

    Bagaimanapun, kebenaran itu hanya terpakai buat penerima dos lengkap yang melepasti hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua (Vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac).


    Bagi penerima vaksin satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino) pula, mereka perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan.

    Negeri yang telah memasuki Fasa Dua PPN termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Sabah manakala Perlis, Sarawak dan Labuan berada dalam Fasa Tiga PPN.

    Antara kelonggaran diberikan ialah pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.

    Kelonggaran itu turut membolehkan ibu bapa yang telah lengkap divaksin merentas daerah dan negeri berjumpa anak-anak di bawah umur 18 tahun.

    Selain itu, pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia yang pulang dari luar negara dan lengkap dua dos vaksin dibenar menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

    Pada masa sama, mereka yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 juga dibenarkan menunaikan solat di masjid dan surau tanpa mengira fasa PPN mengikut protokol kesihatan awam.

    Kebenaran itu juga terpakai kepada penganut bukan Islam menghadiri rumah ibadat masing-masing.

    Sementara itu, kemudahan sektor sosial kepada individu lengkap menerima dua dos vaksin untuk fasa 2 dan seterusnya termasuk kebenaran merentas daerah, aktiviti makan di restoran, aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan dan berkumpulan (outdoor) dan pelancongan dalam negeri.

    Namun kesemua kelonggaran itu memerlukan sijil digital vaksinasi Covid-19 yang boleh didapati di dalam aplikasi MySejahtera.

    Untuk mengelak sebarang kesulitan, orang ramai boleh menyemak status negeri dan wilayah masing-masing bagi memastikan perincian aktiviti yang dibenarkan menerusi laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Bagaimanapun, kelonggaran itu masih tidak boleh dinikmati individu lengkap divaksin dari Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang masih dalam Fasa Satu PPN.

  • KPLB saran penduduk pedalaman tidak memilih vaksin Covid-19

    KPLB saran penduduk pedalaman tidak memilih vaksin Covid-19

    Oleh: Bernama

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyarankan penduduk pedalaman agar tidak memilih jenis vaksin COVID-19 sama ada satu atau dua dos kerana kesemua vaksin mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

    Menterinya Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata apa yang menjadi keutamaan adalah mereka dapat menerima suntikan vaksin COVID-19 secepat mungkin bagi membantu negara mencapai imuniti kelompok.

    “Masyarakat jangan ambil kira jenis vaksin yang akan mereka ambil seperti CanSino atau vaksin dua dos, kerana yang penting adalah mereka dapat suntikan secepat mungkin.

    “Masyarakat pedalaman seperti Orang Asli saya lihat ketika kali pertama, mereka kata agak bimbang untuk ambil vaksin tetapi selepas kita mendekati mereka, penerimaan mereka amat bagus,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program pemberian vaksin menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Pulau Sibu, di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai vaksin satu dos CanSino sekiranya ia akan diberikan kepada penduduk pedalaman.

    Program pemberian vaksin secara PPV Bergerak itu diadakan dua hari bermula semalam dengan seramai 1,000 penduduk dan pekerja sektor pelancongan di Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Sibu, Pulau Rawa serta Pulau Tengah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19.

    Abdul Latiff berkata pihaknya percaya pemberian vaksin COVID-19 kepada penduduk pedalaman tidak menjadi kesukaran memandangkan petugas kesihatan sudah mempunyai pengalaman dalam menyantuni mereka yang tinggal di kawasan itu.

    “Jabatan Kesihatan Negeri sejak dahulu lagi telah memasuki kampung-kampung pedalaman untuk memberi pelbagai suntikan vaksin. Jadi, pemberian vaksin ini bukan perkara baharu buat mereka kerana sudah ada pengalaman termasuk seluruh kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.

    Baru-baru ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata Sabah akan diberi keutamaan sebagai antara negeri terawal menerima vaksin dos tunggal CanSino apabila Malaysia menerima bekalan vaksin itu.

    Pemberian vaksin COVID-19 dos tunggal CanSino di Sabah bakal memudahkan proses vaksinasi penduduk negeri itu terutama di pedalaman yang sebelum ini dibelenggu dengan masalah logistik dan perhubungan.- BERNAMA

  • Orang ramai tidak digalakkan jalani ujian antibodi vaksin Covid-19 – Khairy

    Orang ramai tidak digalakkan jalani ujian antibodi vaksin Covid-19 – Khairy

    Oleh:Bernama

    ORANG ramai dinasihatkan supaya tidak menjalankan ujian antibodi untuk vaksin COVID-19 kerana masih tiada garis panduan klinikal dikeluarkan mengenai perkara itu, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata seperti mana garis panduan dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat serta amalan di negara lain, ujian tersebut adalah tidak digalakkan.

    “Kementerian Kesihatan (KKM) bakal keluarkan kenyataan dalam masa terdekat (mengenai perkara itu).

    “Masih tidak ada garis panduan klinikal untuk ujian antibodi mana yang boleh hasilkan keputusan yang tepat,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Persada PLUS, hari ini.

    Menurut Khairy, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagaimanapun sedang menjalankan kajian mendalam mengenai kesan pengambilan vaksin COVID-19 ke atas sistem imun dan hasil kajian akan diumumkan kepada orang ramai.

    Sementara itu, susulan kejayaan operasi lonjakan kapasiti di Lembah Klang dengan 98 peratus daripada penduduk dewasanya telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 setakat 1 Ogos, Khairy berkata tumpuan kini diberikan kepada negeri-negeri yang sedang menyaksikan peningkatan kes harian.

    Khairy berkata esok beliau akan menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar serta memberi taklimat kepada kerajaan negeri Johor mengenai perancangan dalam memastikan peningkatan kes di negeri itu dapat dikawal melalui pelbagai strategi vaksinasi.

    Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata Malaysia kini mendahului senarai vaksinasi harian per kapita di seluruh dunia namun dengan bekalan vaksin yang masih terhad, pemberian optimum negara sukar untuk melepasi kadar semasa 400,000 hingga 500,000 dos vaksin sehari.

    “Bukan semua bekalan vaksin kita telah sampai. Bila kita beli, bekalan vaksin akan tiba dari minggu ke minggu, penghantaran mingguan. Jadi, sangat sukar untuk melepasi itu,” katanya.- BERNAMA

  • Vaksinasi harian kembali ke angka lebih 500,000, hampir 8 juta terima 2 dos

    Vaksinasi harian kembali ke angka lebih 500,000, hampir 8 juta terima 2 dos

    SELEPAS empat hari mencatatkan pemberian vaksin Covid-19 pada paras angka 400,000, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kembali merekodkan vaksinasi melebihi setengah juta dos, semalam.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, sebanyak 514,674 dos vaksin berjaya diberikan semalam.

    Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 220,839 dos vaksin diberikan kepada penerima pertama manakala 293,835 dos lagi kepada penerima yang melengkapkan suntikan vaksin mereka.

    “Secara keseluruhan, sebanyak 23,161,255 dos vaksin telah diberikan dengan jumlah penerima dos pertama ialah sebanyak 15,162,464 orang.

    “Daripada jumlah itu, 7,998,831 orang telah menerima dos kedua,” katanya menerusi ciapan di akaun rasmi Twitter beliau hari ini.

    Melalui infografik yang dikongsikan beliau, dari segi jumlah populasi seluruh negara, 46.4 peratus telah mendapat dos pertama vaksin manakala 24.5 peratus populasi lengkap divaksin.

    Tambahnya, dari aspek populasi dewasa, sebanyak 64.8 peratus sudah mendapat dos pertama manakala 34.2 peratus lagi mendapat 2 dos vaksin.