Tag: V Sivakumar

  • SPRM, peguam negara perlu percepat siasatan kes Sivakumar – Bersih

    SPRM, peguam negara perlu percepat siasatan kes Sivakumar – Bersih

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara digesa mempercepat siasatan kes membabitkan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar bagi mengurangkan polemik politik.

    Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata, agensi penguat kuasa berkenaan perlu memutuskan segera sama ada wujud salah guna kuasa atau sebaliknya dalam kes pengambilan pekerja asing membabitkan Ahli Parlimen Batu Gajah itu.

    “Apabila pemimpin politik utama terlibat, SPRM dan Pejabat Peguam Negara mesti segera menyelesaikan siasatan mereka dan memutuskan sama ada tuduhan perlu dibawa supaya polemik politik dapat diminimumkan.

    “Jika SPRM telah menyelesaikan siasatan, maka Pejabat Peguam Negara perlu memaklumkan kepada orang ramai sama ada Sivakumar telah melanggar undang-undang atau tidak,” katanya menurut laporan Free Malaysia Today.

    Sivakumar dipanggil SPRM untuk memberikan keterangan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap pengambilan pekerja asing, yang menyaksikan tiga pembantunya ditahan empat hari sebelum dibebaskan pada 17 Apr.

    Dua daripadanya telah kembali bekerja manakala seorang lagi telah digantung tugas.

    Timbul gesaan agar beliau bercuti namun Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Sivakumar tidak perlu berbuat demikian kerana beliau hanya dipanggil memberikan kenyataan kepada SPRM.

    Lagipun, tambahnya, tiada pertuduhan dikenakan terhadap menteri itu.

    Mengulas lanjut, Fann berkata, Sivakumar tidak perlu bercuti kerana belum didakwa di mahkamah. Khidmatnya juga masih diperlukan, kata Fann, memandangkan kementeriannya tidak mampu bergerak tanpa menteri dalam tempoh lama.

    “Tetapi sekiranya Sivakumar didakwa, beliau harus meletak jawatan untuk memberi tumpuan kepada pembelaan (diri) terhadap pertuduhan itu,” katanya.

  • PN desak Sivakumar direhatkan daripada tugas rasmi

    PN desak Sivakumar direhatkan daripada tugas rasmi

    PERIKATAN Nasional (PN) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak mengamalkan sikap pilih kasih berhubung siasatan rasuah melibatkan pemimpin parti itu.

    Menurut Ketua Penerangan Pas, Ir Khairil Nizam Khairudin, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes rasuah berkaitan imbuhan kelulusan pekerja asing semakin banyak melibatkan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar namun beliau tidak direhatkan.

    “Perdana Menteri sewajarnya merehatkan Sivakumar selari dengan tindakan desakan Majlis Presiden PH terhadap kes Tan Sri Azam Baki pada 2022.

    “Tindakan ini penting untuk memastikan SPRM dapat menjalankan tugas dengan bebas dan tanpa tekanan serta campur tangan pihak berkepentingan yang memiliki kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, selain itu Majlis Presiden PH pernah juga pernah mendesak Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Panel Perundingan & Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Borhan Dolah direhatkan sehingga siasatan dakwaan pemilikan saham Tan Sri Azam Baki selesai.

    “Antara tatakelola baik yang diamalkan dalam dunia korporat dan industri adalah dengan memberikan Garden Leave bagi merehatkan pegawai yang berkenaan bagi melindungi kepentingan perniagaan dan juga reputasi baik sesebuah organisasi,” katanya.

    Kata Khairil Nizam lagi, pada 14 April 1999 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pernah menjatuhkan hukuman enam tahun penjara ke atas Anwar, setelah disabitkan atas empat kesalahan berhubung penyalahgunaan kuasa campur tangan dalam siasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.

    “Rakyat tidak mahu lagi melihat kes sebegini berulang di dalam kerajaan,” tegasnya menurut laporan Sinar Harian.

  • Sivakumar jadi beban jika tak letak jawatan – Penganalisis

    Sivakumar jadi beban jika tak letak jawatan – Penganalisis

    KEENGGANAN Menteri Sumber Manusia V Sivakumar bercuti atau meletakkan jawatan ketika siasatan rasuah terhadap beberapa pegawai di kementeriannya akan menjadi bebanan kepada DAP dan kerajaan campuran.

    Menurut Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, Sivakumar harus bercuti untuk memberi laluan kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hingga selesai.

    “Kes rasuah seawal lima bulan pentadbiran kerajaan perpaduan sukar diterima tambahan pula ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam soal rasuah dan salah guna kuasa sering dicanang-canangkan.

    “Pendirian (perangi rasuah) memperlihatkan perbezaan menteri kerajaan ketika ini dengan menteri dalam kerajaan sebelumnya, namun ruang ini disia-siakan dengan sikap beliau itu,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Beberapa pihak menggesa Sivakumar bercuti selepas beliau dipanggil SPRM sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap pengambilan pekerja asing, yang menyaksikan tiga pembantunya ditahan.

    Bagaimanapun, Sivakumar menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan kerana akur dengan pendirian perdana menteri bahawa beliau tidak perlu berbuat demikian.

    Pada 17 April, Anwar berkata tidak ada keperluan untuk Sivakumar bercuti kerana dia hanya dipanggil untuk memberi kenyataan kepada SPRM, sambil menambah tiada pertuduhan dikenakan terhadap menteri itu.

    Agensi antirasuah menahan tiga pembantu Sivakumar dan membebaskan mereka selepas reman selama empat hari tamat pada 17 April.

    Mengulas lanjut, Hisomuddin berkata, keengganan Sivakumar meletak jawatan atau bercuti akan menjadi liabiliti kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

    Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Azmil Tayeb pula berpendapat Sivakumar hanya perlu meletak jawatan sekiranya beliau terbukti terbabit dalam kes rasuah tersebut.

    “Beliau perlu menjelaskan kepada orang ramai kenapa beliau tidak bersalah dan cuba meyakinkan pengundi terutamanya penyokong PH,” katanya.

    Azmil juga menjangkakan kes tersebut akan dijadikan modal politik seperti kes rasuah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

  • Sivakumar disoal siasat SPRM kali kedua

    Sivakumar disoal siasat SPRM kali kedua

    MENTERI Sumber Manusia, V Sivakumar disoal siasat pihak berkuasa sekali lagi Isnin lalu sebagai sebahagian siasatannya ke atas pengambilan pekerja asing.

    Free Malaysia Today dalam laporannya yang memetik sumber berkata, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal siasat Sivakumar buat kali kedua dua hari lalu, selepas dia disoal siasat selama beberapa jam di ibu pejabat SPRM Ahad lalu.

    Sumber itu bagaimanapun tidak mendedahkan tempat pertemuan kedua berkenaan.

    “Penyiasat akan terus mengumpul maklumat berhubung jejak wang itu,” kata sumber.

    Dalam pada itu, seorang pegawai Sivakumar menafikan menteri itu dipanggil semula SPRM. Isnin lalu, Sivakumar menafikan SPRM menggeledah rumahnya, sebaliknya menyifatkan ia sebagai “lawatan”.

    Difahamkan, fokus utama penyiasat kini adalah membuktikan jejak wang itu, selepas seorang ahli perniagaan yang ditahan SPRM didakwa mengaku mengutip wang daripada kontraktor untuk pegawai kementerian.

    Walaupun jumlah sebenar tidak diketahui, sumber mendakwa jutaan ringgit mungkin dibayar bagi memastikan kontraktor mengekalkan kontrak yang diperoleh di bawah kerajaan terdahulu.

    “Penyiasat akan memanggil sesiapa saja yang mereka syak terlibat dalam jejak wang itu, dan mereka akan menyiasat sesiapa saja yang dikatakan telah didekati ahli perniagaan itu berhubung kontrak terbabit,” kata sumber itu.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menggesa semua pihak mengelak membuat spekulasi berhubung kes itu dan memberi masa kepada agensi itu menyelesaikan siasatannya.

    Selain ahli perniagaan itu, SPRM turut menahan dua pegawai kanan Sivakumar. Ketiga-tiganya dibebaskan daripada reman pada Isnin lalu.

    Sivakumar menggantung tugas kedua-duanya dan seorang lagi pegawai kementerian itu.

  • Pemimpin jaga kewangan sebuah parti politik akan dipanggil SPRM – Laporan

    Pemimpin jaga kewangan sebuah parti politik akan dipanggil SPRM – Laporan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil pemimpin sebuah parti politik yang menjaga kewangan parti dalam usaha menjejaki sejumlah wang tunai yang dikaitkan dengan seorang menteri.

    Sumber dipetik Utusan Malaysia berkata, beberapa saksi baharu yang terdiri daripada pegawai di kementerian, syarikat kontraktor dan agensi di bawah kementerian terbabit turut akan dipanggil bagi mengukuhkan siasatan.

    Katanya, siasatan SPRM memfokuskan pelbagai sudut untuk mengesan dakwaan pemberian wang tunai menerusi orang tengah sebagai jaminan untuk syarikat berkenaan terus mendapat kontrak.

    “Mungkin juga akan ada pemimpin sebuah parti politik yang menjaga kewangan parti yang dikaitkan dengan menteri itu juga akan dipanggil, namun ia bergantung kepada siasatan selepas ini.

    “Setakat ini, difahamkan, keterangan menteri itu juga telah diambil SPRM sekali lagi, selepas beliau hadir ke pejabat SPRM pada Ahad lalu,” katanya.

    Semalam, SPRM dilaporkan terus menjejaki wang tunai jutaan ringgit yang didakwa diserahkan orang tengah kepada menteri berkenaan.

    Ini susulan penggeledahan di pejabat dan kediaman menteri terbabit yang tidak menemui wang itu atau bukti wang tersebut diterima menteri berkenaan.

    Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar memberi keterangan kepada SPRM pada Ahad lalu, susulan penahanan dua pegawai kanannya yang dipercayai berkaitan isu pengambilan pekerja asing.

    Jumaat lalu, SPRM menahan setiausaha sulit Sivakumar berhubung siasatan ke atas kelulusan kuota pekerja asing.

    Sehari sebelumnya, agensi antirasuah itu menahan seorang pegawai kanan Sivakumar bersama seorang ejen pengambilan pekerja asing.

  • 3 pegawai kanan Sivakumar digantung tugas – Laporan

    3 pegawai kanan Sivakumar digantung tugas – Laporan

    MENTERI Sumber Manusia V Sivakumar dilapor telah menggantung tugas tiga pegawai kanannya, termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan rasuah terhadap kelulusan pekerja asing.

    Malaysiakini dalam laporannya yang memetik satu sumber Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengesahkan penggantungan berkenaan.

    “Ya, tiga orang tersebut telah digantung tugas oleh menteri dengan serta-merta.

    “Ini termasuk dua orang yang kini ditahan SPRM dan seorang lagi PTTK,” katanya ketika dihubungi.

    Bagaimanapun, sumber itu tidak menjelaskan sebab individu ketiga itu digantung tugas.

    “Saya tidak pasti sebab seorang lagi PTTK digantung,” katanya lagi.

    Carian Malaysiakini dalam sistem direktori kakitangan KSM menunjukkan nama ketiga-tiga pegawai tersebut telah dipadamkan.

    Untuk rekod, SPRM menyerbu pejabat kementerian di Putrajaya pada Khamis, di mana agensi pencegahan rasuah itu turut menahan seorang pegawai kanan menteri itu.

    Sehari kemudian, SPRM menahan setiausaha sulit Sivakumar berhubung siasatan rasuah itu. Dia ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.

    Selain itu, seorang ahli perniagaan dari Ipoh turut ditahan dalam siasatan yang dikatakan melibatkan rasuah bernilai RM97 juta.

    Difahamkan siasatan SPRM turut bertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.

    Terdahulu, pagi ini SPRM telah memanggil Sivakumar untuk merekodkan kenyataannya.

    Dia dilaporkan pergi ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi ini untuk menjawab soalan berhubung kes itu.

    “Ya, dia tiba jam 10 pagi. Kami memanggilnya untuk merakam kenyataannya,” kata sumber SPRM seperti dipetik laporan portal berita tempatan.

    Malaysiakini telah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk pengesahan dan butiran lanjut mengenai perkara itu.

  • Isu pekerja asing: SPRM ambil keterangan Sivakumar

    Isu pekerja asing: SPRM ambil keterangan Sivakumar

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor mengambil keterangan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berhubung siasatan kes rasuah mengenai pengambilan pekerja asing, hari ini.

    Memetik laporan Berita Harian yang memetik sumber, Ahli Parlimen Batu Gajah itu hadir memberi keterangan pada pukul 10 pagi tadi.

    Bagaimanapun, sumber sama enggan memaklumkan lokasi di mana Sivakumar hadir untuk diambil keterangan.

    “Beliau hadir untuk memberi keterangan,” katanya menurut laporan itu.

    Sementara itu, usaha mendapatkan pengesahan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, belum berhasil.

    Kelmarin, SPRM menahan Setiausaha Sulit kepada Sivakumar bagi membantu siasatan kes pengambilan pekerja asing.

    Penahanan itu dibuat selepas seorang pegawai tugas-tugas khas kepada menteri berkenaan direman Khamis lalu.

    Media sebelum ini melaporkan, Sivakumar dan kementeriannya akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM berhubung penahanan seorang pegawai di pejabat menteri itu bersabit isu membawa masuk pekerja asing.

  • SPRM bebas siasat kes pegawai Sivakumar, kata Anwar

    SPRM bebas siasat kes pegawai Sivakumar, kata Anwar

    SURUHANJAYA Pencegahan Rakyat Malaysia (SPRM) diberi kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat kes rasuah melibatkan pegawai kanan kepada Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan itu merupakan keputusan SPRM yang mana selari dengan arahan beliau sebelum ini supaya badan berkuasa berkenaan bertindak sekiranya ada asas terhadap mana-mana pihak dan sesiapa sahaja.

    Beliau bagaimanapun meminta semua pihak tidak membuat penilaian sendiri berhubung siasatan SPRM terhadap pegawai kanan menteri berkenaan.

    “Jangan kita mendahului dari segi menjangkakan apa-apa yang lain, kerana saya tidak ada apa-apa maklumat selain daripada dimaklumkan tentang penahanan, kalau tidak silap, tiga pegawai di kementerian berkenaan,” katanya, hari ini.

    Difahamkan setakat ini, seramai dua individu yang juga pegawai kanan Sivakumar ditahan SPRM berhubung siasatan kes itu sejak semalam.

    Menurut laporan media, penahanan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan suspek menubuhkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing untuk mendapatkan kelulusan kementerian berkenaan walaupun terdapat konflik kepentingan.

  • Setiausaha sulit menteri pula ditahan SPRM

    Setiausaha sulit menteri pula ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan kepada Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

    Memetik laporan Malaysiakini, kali ini tangkapan itu dibuat ke atas setiausaha sulit menteri terbabit dan ia disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

    “Ya, seorang pegawai ditahan dan direman tapi saya tak pasti (buat masa ini) berapa hari,” katanya.

    Azam bagaimanapun tidak memberitahu berapa lama suspek terbabit direman.

    Penahanan terbaru hari ini menjadikan sudah ada dua pegawai kanan ahli parlimen Batu Gajah itu disiasat agensi penguat kuasa berkenaan.

    Semalam SPRM menahan seorang pegawai kanan Sivakumar, selain seorang ahli perniagaaan dari Ipoh berkaitan dengan dakwaan rasuah yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

    Difahamkan siasatan SPRM tertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.

    Sivakumar kemudian berkata beliau tidak dapat memberikan sebarang komen lanjut kerana kes berkenaan sedang disiasat.

    “Saya dan Kementerian Sumber Manusia akan memberi kerjasama penuh kepada agensi siasatan sekiranya diperlukan,” katanya

    Malaysiakini difahamkan, siasatan itu melibatkan kes rasuah bernilai RM97 juta.