Tag: Ustaz Azhar Idrus

  • ‘Raya dengan nampak anak bulan, bukan buat kalendar awal-awal’ – UAI

    ‘Raya dengan nampak anak bulan, bukan buat kalendar awal-awal’ – UAI

    PENDAKWAH terkenal, Ustaz Azhar Idrus menempelak netizen yang ‘masuk campur’ dalam urusan penetapan Hari Raya Aidilfitri sehingga bertindak seolah-olah seperti mufti.

    Ini berikutan kenyataan dibuat pihak tertentu sebelum ini mengenai tarikh hari raya sehingga menimbulkan spekulasi dan kebimbangan dalam kalangan warga maya berhubung situasi raya mengejut yang mungkin berulang sebagaimana berlaku pada tahun lalu.

    Berdasarkan perkongsian video berdurasi 7 minit 59 saat di laman YouTube rasminya, Azhar menjelaskan, penentuan kaedah penetapan awal bulan Islam di Malaysia adalah secara imkanurukyah (rukyah dan hisab).

    “Raya ini dengan nampak anak bulan bukan buat kalendar awal-awal. Mazhab-mazhab fiqh yang empat iaitu Mazhab Shafie, Hanafi, Hambali dan Maliki kena ikut rukyah, kena tengok anak bulan sama ada ke tidak.

    “Nabi kata muliakan puasa jika nampak anak bulan Ramadan, mula berhari raya jika nampak anak bulan Syawal. Kamu siapa nak ulas-ulas? Ini masalah tidak sedar diri.

    “Agama ikut kamu atau kamu ikut agama. Kalau nak ikut agama hendaklah kamu tengok pada 29 Ramadan. Kalau 29 Ramadan itu nampak anak bulan, esok tak ada 30 Ramadan, sudah 1 Syawal jadi raya mengejut,” katanya, menurut laporan Sinar Harian.

    Pada Jumaat, tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp mengenai hebahan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dikatakan jatuh pada 21 April ini.

    Hebahan ini menjadi perbualan dalam kalangan orang ramai apabila tarikh tersebut berbeza seperti yang tercatat dalam kalendar pada 22 April.

    Ia susulan satu tangkap layar yang dikongsikan memaparkan tarikh akhir Ramadan pada 20 April ini.

    Sementara itu, Azhar mendakwa ramai netizen yang mahu tarikh hari raya ditetapkan awal bagi mengelakkan kesukaran dalam menghadapi raya mengejut termasuk tidak sempat menyiapkan tempahan kuih raya.

    “Jadi raya selama ni kena tengok kuih kamu ke macam mana? Raya mengejut ini apabila nampak anak bulan.

    “Kalau tak nampak (anak bulan) tak mengejut, lusa raya,” katanya.

  • Alami masalah kesihatan, Ustaz Azhar Idrus masuk hospital

    Alami masalah kesihatan, Ustaz Azhar Idrus masuk hospital

    PENCERAMAH bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan dipercayai kerana masalah kesihatan membabitkan paru-paru dan jantung.

    Perkembangan mengenai masalah kesihatan UAI dimaklumkan menerusi akaun Facebook beliau semalam yang menyatakan Kuliah Maghrib Ambang Ramadan bersama Ustaz Azhar Idrus di Masjid Kg Tadok, Kuala Telemong pada tarikh sama dibatalkan.

    “Ditangguhkan atas sebab kesihatan, Doakan Kesembuhan buat Murabbi Ustaz Azhar Idrus,” tulis hantaran berkenaan.

    Dalam pada itu, lapor Berita Harian, beberapa tokoh agama dan pemimpin politik mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan dengan masalah kesihatan dihadapi Azhar termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

    “Semoga Allah SWT terus merahmati dan mempermudahkan segala urusan buat Murrabi Ummah yang disayangi ini.

    “Insya-Allah, sama-sama kita berdoa agar Allah SWT mengangkat penyakit yang dilalui oleh al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus ini. Sesungguhnya, hanya kepada Allah SWT jua tempat kita memohon,” katanya dalam hantaran Facebook.

    Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat menerusi satu hantaran Facebook turut mendoakan kesihatan Azhar.

    “Semoga kembali sihat seperti sedia kala buat Murabbi Ummah, Ustaz Azhar Idrus,” tulis beliau.

    Menurut hantaran di Facebook Ustaz Azhar Idrus, kuliah Maghrib yang sepatutnya berlangsung Masjid Kampung Bukit Tadok, Kuala Telemung, Terengganu semalam terpaksa ditangguhkan pada waktu lain.

    “Ditangguhkan atas sebab kesihatan, doakan Kesembuhan buat Murabbi Ustaz Azhar Idrus,” kata hantaran Facebook Ustaz Azhar Idrus.

    Pendakwah Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar turut mendoakan Azhar diberi kesembuhan dan ‘Afiah .

    “Angkatlah dari hambaMu Ust Azhar Idrus akan sakitnya. Berilah kesembuhan padanya sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yg Maha Menyembuhkan, dan berilah ‘Afiah padanya sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yg Maha memberi ‘Afiah,” katanya dalam hantaran di Facebook.

  • Ustaz Azhar Idrus tiada tauliah mengajar agama di Selangor – JAIS

    Ustaz Azhar Idrus tiada tauliah mengajar agama di Selangor – JAIS

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus tidak mempunyai tauliah mengajar tentang agama Islam di Selangor.

    Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata demikian mengulas isu pembatalan Kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus yang akan diadakan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini pada Ahad ini.

    Katanya, kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa di Selangor.

    “Semua individu yang mengajar tentang agama Islam di Selangor perlu mematuhi undang-undang dan peraturan.

    “Pihak masjid atau surau juga tidak boleh menjemput individu tidak memiliki tauliah mengajar diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook Ustaz Azhar Idrus semalam berkenaan kuliah maghribnya yang sepatutnya diadakan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah terpaksa dibatalkan atas kuasa JAIS.

    “Mohon maaf kepada rakyat Selangor kerana tidak dapat menyampaikan kuliyah di negeri anda.

    “Oleh kerana itu Kuliah Maghrib pada tarikh 26 Feb ditukarkan ke Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Mohon sebaran seluasnya,” katanya. – BERNAMA

  • Kuliah Ustaz Azhar Idrus dibatal JAIS, pengikut UAI sedih

    Kuliah Ustaz Azhar Idrus dibatal JAIS, pengikut UAI sedih

    KULIAH maghrib Ustaz Azhar Idrus atau UAI yang sepatutnya dijadualkan berlangsung di sebuah masjid di Selangor Ahad ini terpaksa dibatalkan.

    Perkara itu dimaklumkan oleh pentadbir akaun penceramah popular itu menerusi satu hantaran Facebook, semalam.

    “Dukacita dimaklumkan bahawa kuliah maghrib perdana UAI yang akan diadakan di Masjid Tengku Ampuan Bukit Jelutong pada 26 Febuari 2023 (Ahad) terpaksa dibatalkan atas kuasa Jabatan Agama Negeri Selangor (JAIS).

    “Mohon maaf kepada rakyat Selangor kerana tidak dapat menyampaikan kuliah di negeri anda,” katanya, semalam.

    Kata kenyataan itu lagi, kuliah Maghrib pada tarikh tersebut akan ditukarkan ke Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

    Dalam pada itu, lapor Sinar Harian, perkongsian ringkas itu mendapat reaksi kurang senang pengikut pendakwah popular tersebut antaranya seorang guru, Mohd Fadli Salleh yang meluahkan rasa sedih dengan keputusan pembatalan kuliah maghrib tersebut.

    “Sedihnya bila orang mengajak buat maksiat dialu-alukan, orang mengajak mengingat akhirat dan ladang pahala, disekat,” tulis guru yang mempunyai 694,000 pengikut di Facebook.

    Seorang lagi pengguna media sosial Facebook, Eyza Ali turut meluahkan rasa kurang senang dengan sekatan ke atas penceramah tersebut.

    “Allahuakbar, pergi ceramah agama je pun, bukan pergi konsert,” tulisnya ringkas.

    Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada JAIS berhubung perkara tersebut.